Anda di sini

Pendaftar perkahwinan diminta siasat dakwaan perkahwinan sejenis

Advertisement
 Empat NGO di Tawau tampil membuat laporan polis di IPD Tawau.
MINTA SIASAT: Empat NGO di Tawau tampil membuat laporan polis di IPD Tawau.

TAWAU: Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis susulan perkongsian tular di media sosial mengenai dakwaan perkahwinan sejenis dua lelaki yang dikatakan berasal dari Tawau.

Keempat-empat NGO itu adalah Persatuan Bela Belia Tawau (PEMBELA), Persatuan Belia Usia Bahagian Tawau, Persatuan Nur Al- Mustafa dan Persatuan Banjar Tawau.

Mereka membuat laporan polis di IPD Tawau pada Ahad jam 12.45 tengah hari untuk meminta Pendaftar Perkahwinan menyiasat dan mengambil tindakan segera.

Pengerusi Pembela Shamry M Sani berkata laporan itu juga dibuat untuk mengelak insiden serupa berulang yang dikhuatiri menjadi ikutan budaya songsang.

Malaysia tidak membenarkan sebarang perkahwinan sejenis daripada semua agama yang diamalkan rakyat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata dakwaan perkahwinan sejenis pemuda berusia 28 tahun dan pasangannya, 26, itu mula dikesan menjadi tular di Facebook dan WhatsApp pada 10 November lepas.

Menurutnya, pasangan itu dikatakan meraikan majlis praperkahwinan mereka di Kuala Lumpur sebelum mengumumkan ‘perkahwinan’ mereka secara terbuka di media sosial.

Berdasarkan perkongsian tular di media sosial, pasangan berkenaan dikatakan kini mengusahakan perniagaan sebuah kafe di kawasan Pusat Komersil Bintang Kubota.

Netizen memberikan pelbagai reaksi berhubung isu berkenaan dan ramai yang menolak perlakuan terbabit kerana bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat di Malaysia.

Advertisement