Anda di sini

Mobile CTC buka pintu kepada rakyat dapatkan perkhidmatan kerajaan

 Jabatan Perdaftaran Negara adalah antara jabatan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pada Program Mobile CTC.
MEMUDAHKAN: Jabatan Perdaftaran Negara adalah antara jabatan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pada Program Mobile CTC.

SANDAKAN: Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) membuka pintu kepada rakyat di peringkat akar umbi untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan yang dibawa secara terus kepada mereka.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata, tujuan dan misi program itu yang memberi khidmat kepada mereka yang tinggal jauh di luar bandar dan pedalaman, jelas membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk rakyat.

Menerusi program ini, kita menyaksikan berpuluh-puluh jabatan persekutuan dan negeri serta swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) turun padang bagi memberi khidmat secara percuma kepada rakyat.

Kita bukan puji atau masuk bakul angkat sendiri. Tetapi, tidak ada kerajaan lain yang memberi perkhidmatan sebaik ini melainkan di Malaysia.

Kita tidak takut atau jemu, sebaliknya sentiasa berpegang kepada prinsip ingin memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebab kita (kerajaan) dipilih oleh mereka,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di pekarangan PPR Sungai Manila di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Zakaria Mohd Edris, Ahli Parlimen Libaran Datuk Juslie Ajirol, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Ir James Wong, Timbalan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Rosmawati Lasuki dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Sibuga Datuk Salzo Asa.

Program dua hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, acara mewarna kanak-kanak, pertandingan bintang kecil, pertandingan tarian moden serta ceramah keluarga bahagia.

Ia dianjurkan bersama Perbendaharaan Malaysia Sabah, UPPM Sungai Sibuga, MPS, Kumpulan Yayasan Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah Mohd Yunus Charlie Charington berkata, meskipun pihaknya menyasarkan penganjuran 14 program seumpama itu pada tahun ini, namun setakat ini mereka berjaya mengadakan 20 program itu di seluruh negeri.

Pihaknya juga berhasrat untuk memohon kemudahan bot bagi membolehkan program itu diperluas ke kawasan kepulauan di negeri ini pada tahun depan.

Menerusi program ini, kita membawakan lebih 40 jabatan serta agensi persekutuan dan negeri, swasta dan NGO yang menawarkan lebih kurang 100 perkhidmatan kepada rakyat. Secara keseluruhan, program ini telah melibatkan 80,000 rakyat.

Kita rasa bertuah kerana penganjuran Program Mobile CTC di PPR Sungai Manila adalah yang julung kali dihadiri dan dilancarkan oleh Tan Sri Musa,” katanya.

Menerusi Program Mobile CTC setakat ini, pihaknya telah mencatatkan sebanyak 1,300 pendaftaran surat lahir; 1,500 penggantian kad pengenalan; 6,700 pendaftaran pemilih baharu, 2,000 lesen memandu yang disemak dan diperbaharui, 1,000 perkhidmatan pos, 500 urusan Tabung Haji, 2,000 perkhidmatan kesihatan serta 900 perkhidmatan pergigian.

Selain itu, program berkenaan turut menyaksikan pekerjaan baharu diwujudkan melibatkan 500 majikan swasta yang menawarkan 9,000 peluang pekerjaan termasuk bekerja di Semenanjung.