Anda di sini

Memandu secara bahaya, guru wanita dipenjara selama tiga tahun

SIBU: Seorang guru wanita didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Sibu kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar sekolah.

Majistret Sofia S. Sawayan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun kepada Wong Ching Ching, 42, kerana didapati bersalah selepas perbicaraan penuh semalam.

Dia juga dikenakan denda sejumlah RM5,000 dan jika gagal membayarnya dikenakan penjara lima bulan.

Lesennya turut digantung selama lima tahun. 

Wong didakwa memandu kereta di Jalan Deshon di SMK Rosli Dhoby menyebabkan kematian pejalan kaki, Adeline Ngu, 15, dengan memandu secara berbahaya ke arah mangsa seterusnya gagal mengawal kereta dengan baik dan menyebabkan kematian.

Mengikut pertuduhan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.10 pagi pada 5 Mac 2014 selepas tertuduh meninggalkan rumahnya di Jalan Apollo, di sini.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda antara RM5,000 dan RM20,000.

Dalam mitigasi, tertuduh diwakili peguam bela Yap Hoi Liong mengaku bersalah sambil mengatakan dia mempunyai seorang anak kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun untuk dijaga.

Yap berkata, tertuduh adalah seorang guru sejak 1997 dan mempunyai kelakuan baik dalam pekerjaannya dan perlu menjaga anaknya yang berusia 11 tahun.

Yap juga memberitahu mahkamah bahawa ia adalah kesalahan pertama tertuduh.

Sementara itu, Yap membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi hari ini bagi merayu meringankan hukuman dikenakan atas tertuduh.