Anda di sini

Kadar kegunaan tanah bagi tanaman kelapa sawit cecah 5.77 juta hektar

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, kadar kegunaan tanah bagi tanaman kelapa sawit bagi 2017 mencecah hampir 5.77 juta hektar, iaitu 2.23 peratus daripada 258.9 juta hektar tanah pertanian di seluruh Malaysia.

Melalui ladang ini, MPOB menyasarkan pengeluaran 19.9 juta tan sawit pada 2017, berbanding 17.3 juta tan tahun lepas.

MPOB tidak merancang untuk menambah kawasan tanaman sawit di seluruh negara dengan banyak kerana strategi utama MPOB adalah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran melalui ladang sedia ada,” kata Ketua Pengarah Datuk Dr Ahmad Kushairi Din, ketika ditemui di Seminar Antarabangsa 100 Tahun Kemajuan Teknologi dalam Pembiakan Baka Kelapa Sawit dan Penghasilan Benih, anjuran Persatuan Antarabangsa Pembiak Baka Sawit (ISOPB) dan MPOB semalam.Beliau berkata, MPOB banyak membuka ladang baru melalui kaedah tebus guna dan mengelak daripada membuka ladang baru melalui kaedah penebangan dan pemusnahan hutan, tambahnya.

MPOB menyatakan bahawa terdapat potensi besar bagi ladang baru dibuka di Sabah dan Sarawak, namun ia memerlukan kajian menyeluruh bagi mengelak daripada memusnahkan ekosistem hutan.

Malaysia merupakan antara pengeksport utama minyak kelapa sawit dunia dengan jumlah pendapatan eksport RM 67.6 bilion pada 2016.

Sementara itu, MPOB juga menyatakan bahawa peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan mesin tidak akan menjejaskan pekerja tempatan di ladang sawit seluruh negara.

Kebanyakan ladang di Malaysia menggunakan tenaga buruh asing bagi kerja-kerja berat dan kasar, dan kos pembawaan buruh asing lebih tinggi berbanding kita membeli dan mengimport mesin dan peralatan untuk proses tuaian dan pemprosesan minyak sawit,” kata Ahmad Kushairi.

Ketika ini 570,000 pekerja, kebanyakannya pekerja asing terlibat dalam bidang perladangan, penghasilan, pemprosesan dan logistik bagi industri sawit di lebih 450 kilang pemprosesan dan tempat pengumpulan sawit di seluruh negara.

Menurutnya, proses integrasi teknologi dan mekanisasi dapat mengurangkan kos mengupah pekerja asing untuk kerja-kerja tuaian dan pemprosesan, seterusnya dapat meningkatkan lagi kadar keuntungan. — Bernama