Anda di sini

Jambatan Darul Hana belum dibuka kepada umum

KUCHING: Jambatan Darul Hana masih belum dibuka kepada umum dalam masa terdekat ini atas faktor keselamatan.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerja-kerja peleraian perkakas bunga api dan lampu selepas majlis perasmian 11 November lalu masih dilaksanakan.

"Jadi buat masa terdekat ini, jambatan (Darul Hana) ini tidak dapat dibuka orang awam dahulu.

"Kita sememangnya mementingkan faktor keselamatan, sekarang pihak kontraktor masih menjalankan kerja-kerja peleraian perkakas bunga api dan lampu pentas," katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini semalam.

Ikon baharu bandar raya Kuching yang baharu dikatakan mempunyai had kapasiti sehingga 1,000 orang pada suatu masa.

"Oleh itu sekiranya kita buka (jambatan) dalam masa ini, saya rasa ramai yang akan berdiri di sana.

"Lebih-lebih lagi ketika menyaksikan regata, mungkin akan terdapat lebih dari jumlah itu berada di atas jambatan," jelasnya.

Untuk itu katanya, ia antara sebab mengapa jambatan itu belum dibuka kepada umum.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata dua susur masuk akan dijaga apabila jambatan tersebut dibuka kepada umum kelak bagi mengelak kemasukan melebihi had selamat iaitu 800 orang.

Jambatan emas yang menghubungkan Tebingan Kuching dengan Pangkalan Sapi itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada detik 11.11.11 malam Sabtu lalu.

Jambatan Darul Hana ketika dirasmikan pada 11 November lalu.
Jambatan Darul Hana ketika dirasmikan pada 11 November lalu.