Anda di sini

Bermula dari sekadar minat kini pemilik perkampungan arnab

 Ardy bersama kudanya.
PEMILIK: Ardy bersama kudanya.

BERMULA dari minat terhadap arnab sejak kecil, anak jati kelahiran Kuching ini tidak menyangka dapat mewujudkan perkampungan haiwan itu yang kini beroperasi di salah satu kawasan peranginan di Santubong.

Bagi Muhamad Al Ardy Abdul Hady, 41, yang sememangnya meminati bidang perniagaan sejak kecil tidak berasa ragu-ragu untuk memulakan pusat tersebut bersama rakannya, Wan Mazland Wan Abdul Rahman.

Menyedarinya bidang baharu diceburi, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk mencuba apatah lagi dalam usia yang kian meningkat.

Walaupun bermula dari sekadar minat, kini saya dan rakan (Wan Mazland) berjaya merealisasikan impian untuk memiliki perkampungan arnab,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Beliau beranggapan usia bukanlah penghalang lantas terus mengatur strategi bagaimana untuk menggiatkan lagi perusahaannya itu.

Mengulas lanjut, Ardy mendedahkan pusat itu kini menempatkan lebih 30 ekor arnab ternakan sejak beroperasi Oktober lalu.

Beliau berharap selepas ini, ternakan arnab di perkampungan itu dapat diperbanyakkan selain membawa masuk haiwan lain seperti rusa sebagai tarikan baharu kepada pengunjung.

Menyedari potensi di kawasan pelancongan yang sering menjadi lokasi kunjungan ramai, pihaknya menyediakan perkhidmatan menunggang kuda.

Pengunjung berpeluang menunggang kuda dengan sendiri atau dibantu pihak kami di sini untuk menunggang haiwan itu.

Setakat ini, sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya sambil mendedahkan akan membawa masuk dua ekor lagi kuda untuk menambahbaik perkhidmatan yang disediakan.

Ditanya soal cabaran, Ardy menjelaskan faktor ekonomi mempengaruhi situasi semasa, namun itu bukan noktah terakhir kepada perniagaan yang diusahakan.

Apa yang penting, katanya, semangat untuk berusaha dan berani mencuba sesuatu baharu menjadi tunjang ke arah kejayaan.

 Arnab-arnab di perkampungan arnab di Santubong.
COMEL: Arnab-arnab di perkampungan arnab di Santubong.