Anda di sini

Amalan KBAT ditahap lebih baik tiga tahun lagi: Mahdzir

Advertisement

PUTRAJAYA: Penguasaan pelajar dan guru terhadap amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) akan berada pada tahap lebih baik dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sebagai satu proses atau kaedah berfikir yang dimasukkan dalam pengajaran di sekolah, KBAT bukanlah satu program yang kejayaannya boleh berlaku dalam sekelip mata.

Melalui KBAT, katanya pelajar disasarkan mempunyai kebolehan berfikir dan menjawab dengan cepat serta mampu berkomunikasi terhadap perkara yang disoal.

Contohnya, bila di letakkan gambar labu sayung, kita mahu pelajar segera memberi takrifan kepada labu sayung seperti berasal dari Perak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) di sini semalam.

Majlis bacaan ikrar itu, yang juga diadakan serentak di sekolah seluruh negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

KBAT adalah satu proses yang bermakna amalannya perlu mengambil masa sebelum kejayaan sebenar dapat dilihat.

Dalam hal kegagalan KBAT, kita tidak salahkan guru, pelajar dan sistem sebab ia adalah satu proses, malah dalam mencapai matlamat pelaksanaannya, para guru sentiasa dilatih secara berterusan agar dapat memahami budaya KBAT sepenuhnya,” katanya.

Mengenai Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara, Mahdzir berkata inisiatif yang diambil JPNIN adalah amat bersesuaian dalam memupuk semangat patriotisme bermula daripada sekolah, khususnya dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Menurutnya, JPNIN menggubal modul silang budaya berkonsepkan santai menggunakan formula 3B iaitu bermain aktiviti dalam suasana menyeronokkan, berkongsi pengalaman diri dan nilai dan bertoleransi melalui penerimaan perbezaan budaya.

Pelaksanaan di sekolah membuktikan jaringan strategik antara Kementerian Pendidikan dan JPNIN mampu meningkatkan kefahaman dan penerimaan pelajar terhadap budaya, adat resam, amalan, kepercayaan dan cara hidup kaum lain,” katanya. — Bernama

Advertisement