Anda di sini

PACU EKONOMI DIGITAL

Advertisement
 Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian yang disempurnakan Morshidi dan Foo sambil disaksikan tetamu kehormat lain.
TERMETERAI: Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian yang disempurnakan Morshidi dan Foo sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal  Sarawak (CENTEXS) semalam menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Huawei Technology (Malaysia) Sdn Bhd untuk memacu usaha ke arah pembangunan ekonomi digital di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu kerajaan negeri memperuntukkan RM18 juta bagi memulakan pelaksanaan program sijil latihan yang ditawarkan hasil kerjasama CENTEXS dan Huawei itu.

“Justeru, saya amat mengalu-alukan kerjasama antara CENTEXS dan Huawei ini dalam membantu kita ke arah mentransformasikan ekonomi negeri ke arah ekonomi digital,” katanya ketika berucap pada majlis di CENTEXS, Jalan Sultan Tengah dekat sini semalam.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Lembaga Pengarah CENTEXS Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman mewakili CENTEXS.

Manakala, Huawei Malaysia diwakili Naib Presidennya Foo Fang Yong dan Naib Presiden Huawei Global Technical Service Department James Xu Chengxin.

Antara program yang ditawarkan, Pemasangan Perkakasan Wayarles-Pakar Sah Huawei, Pemasangan Perkakasan Gelombang Mikro-Pakar Sah Huawei, Pemasangan Perkakasan FTTX OSP-Pakar Sah Huawei, Pemasangan Perkakasan Peralatan Rangkaian Pusat Data-Pakar Sah Huawei dan Pemasangan Perkakasan Peralatan Tenaga Telekom-Pakar Sah Huawei.

Pada masa sama, Abang Johari berharap kerjasama antara CENTEXS dan Huawei itu akan dapat menghasilkan teknologi baharu yang boleh diberi nama Teknologi CENHUA (CENTEXS-Huawei).

“Apabila kita ada teknologi baharu ini, kita dapat memenuhi keperluan di ASEAN dan Asia.

“Selain itu, hasil kerjasama ini, kita dapat melihat suatu masa nanti Huawei mempunyai makmal luar dari China iaitu di Sarawak yang boleh diberi nama Makmal SANHUA (Sarawak-Huawei),” tambahnya.

Malah, beliau yakin kerjasama itu juga akan dapat melahirkan anak muda Sarawak yang mempunyai kreativiti dan impian untuk menjadi pakar dalam bidang teknologi baharu selari dengan Revolusi Industri 4.0.

  • oleh
  • Advertisement