Anda di sini

DUN lulus usul MA63

 Uggah membentangkan usul MA63 pada Persidangan DUN di Kuching semalam.
BENTANG: Uggah membentangkan usul MA63 pada Persidangan DUN di Kuching semalam.

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam meluluskan usul kementerian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta perkara berkaitan dengan MA63. 

Usul tersebut dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan disokong oleh Tan Sri James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Speaker DUN Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar meluluskan usul tersebut selepas dibahaskan dan menerima sokongan majoriti ahli DUN.

Uggah dalam usulnya berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 16 September lepas memberi jaminan akan memberikan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam MA63.

Jaminan ini, menurut Uggah, bukan sekadar retorik politik sebaliknya menunjukkan tindak balas positif kerajaan persekutuan kepada inisiatif Sarawak untuk mendapatkan semula hak-hak di bawah MA63.

“Dewan yang mulia ini telah dimaklumkan mengenai pencapaian rundingan dengan kerajaan persekutuan oleh bekas (Ketua Menteri) Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ketika ucapan penggulungannya pada 30 November 2016.

“Ini turut dicerminkan melalui pengecualian Sarawak daripada Akta Bekalan Gas dan hak untuk memeriksa semua lesen perikanan laut dalam di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Sarawak.

“Ini semua dilaksanakan atas janji-janji dan pengiktirafan hak-hak negeri ke atas pelantar benua bersama dengan minyak dan gas dan sumber-sumber marinnya.

“Oleh itu, kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memahami dan kesediaan untuk mempertimbangkan rayuan kita untuk mendapatkan hak-hak Sarawak,” katanya.

Tambah Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, keinginan kerajaan negeri adalah untuk semua isu penting Perlembagaan ini diselesaikan tanpa tindakan perundangan.

Apabila isu ini diselesaikan, katanya, negara akan lebih bersatu dan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan kekal harmoni.

“Rundingan antara kerajaan negeri dan persekutuan ini perlu dijalankan mengikut semangat dan niat Perjanjian Malaysia dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang dipatuhi oleh semua pihak yang bertanggungjawab dalam pembentukan Malaysia.

“Kerajaan negeri sentiasa mengekalkan bahawa Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilayan sebagai satu daripada negeri dalam persekutuan, tetapi rakan sama rata kepada pembentukan Malaysia,” katanya.

Atas sebab itu, Uggah (BN-Bukit Saban) berkata kerajaan negeri mencadangkan Pasukan Tugas Khas bertaraf tinggi ditubuhkan untuk membuat kesimpulan mengenai rundingan dengan kerajaan persekutuan dan menyelesaikan isu ini.

“Penyelesaian isu Perlembagaan dan perundangan penting ini perlu dijalankan oleh peringkat tertinggi di peringkat persekutuan dan negeri.

“Untuk itu, kerajaan negeri dengan rendah diri meminta kerajaan persekutuan untuk menubuhkan pasukan khas bagi membantu menyelesaikan isu ini dengan baik.

“Kelulusan usul ini tidak seharusnya disalah tafsir. Sarawak hormat keputusan pemimpin terdahulu dan akan terus kekal dalam Malaysia,” tegasnya.