Anda di sini

Rumah panjang ranap

Advertisement

Jarak jauh, ketiadaan komunikasi sukarkan penduduk rumah panjang Long Palai dapatkan bantuan.

 Api kelihatan marak membakar rumah panjang 11 pintu di Long Palai dalam kebakaran sekitar jam 2.30 pagi semalam.
MARAK: Api kelihatan marak membakar rumah panjang 11 pintu di Long Palai dalam kebakaran sekitar jam 2.30 pagi semalam.

MIRI: Selain jarak jauh, ketiadaan kemudahan talian komunikasi, menjadi faktor penduduk sukar mendapatkan bantuan pihak luar khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadamkan kebakaran di rumah panjang mereka di Long Palai, Ulu Baram semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 2.30 pagi semalam, memusnahkan keseluruhan blok rumah panjang 11 pintu yang merupakan rumah tradisi dan dibina daripada kayu.

Ketua Kaum Long Palai Martinus Mato berkata walaupun rumah panjang tersebut musnah 100 peratus dalam kebakaran tersebut, namun beliau bersyukur tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan punca kejadian masih belum diketahui.

Blok terbakar itu merupakan sebuah daripada dua blok rumah panjang di Long Palai terletak kira-kira enam hingga tujuh jam perjalanan menggunakan laluan jalan balak.

Sementara blok kedua rumah panjang berkenaan terselamat daripada kebakaran tersebut.

Ketika kejadian, jana kuasa elektrik juga sudah dipadamkan, menyukarkan lagi penduduk menghubungi pihak bomba dan penyelamat serta sukar mahu menyelamatkan harta benda dan hanya berupaya menyelamatkan nyawa ahli keluarga masing-masing.

Manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi memaklumkan bahawa pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kebakaran berkenaan pada jam 7.25 pagi semalam daripada orang awam.

Pasukan bomba dari Balai Bomba Marudi diketuai PBK I Hashim Morshidi bersama tiga anggota, berlepas ke lokasi kebakaran pagi semalam dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda, bagi mendapatkan laporan lengkap dan melakukan siasatan ke atas kes berkenaan.

 Penduduk hanya mampu melihat api memusnahkan rumah panjang mereka hingga tinggal abu dan arang.
MUSNAH: Penduduk hanya mampu melihat api memusnahkan rumah panjang mereka hingga tinggal abu dan arang.
  • oleh
  • Advertisement