Anda di sini

Percepat pembangunan

Advertisement
 Abang Johari melakukan simbolik pengenalan dan pelancaran Logo DBOS sambil disaksikan Awang Tengah (dua kanan), Uggah (lima kiri), Morshidi (tiga kanan) serta ahli lembaga pengarah lain.
LANCAR: Abang Johari melakukan simbolik pengenalan dan pelancaran Logo DBOS sambil disaksikan Awang Tengah (dua kanan), Uggah (lima kiri), Morshidi (tiga kanan) serta ahli lembaga pengarah lain.

KUCHING: Sarawak tidak perlu menunggu dan bergantung peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk mempercepat pembangunan kerana ia bakal direalisasi melalui Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak perlu membiayai projek dengan sumbernya sendiri jika mahu mempercepat pembangunan dengan tertubuhnya DBOS.

“Sarawak perlu mempercepat pembangunannya, kita tidak boleh menunggu peruntukan belanjawan negeri atau persekutuan yang mencukupi kerana ia tidak akan mencukupi.

“Satu kes ketara ialah keadaan lebih 1,000 sekolah usang di Sarawak kebanyakan di kawasan luar bandar amat perlu dibaiki dan dibina semula.

“Isu sekolah berkenaan sudah menunggu bertahun-tahun untuk diselesai, namun (kita) tidak boleh merungut atau menyalahkan orang lain sepanjang masa.

“Sebaliknya, Sarawak sendiri perlu mengambil tindakan sewajarnya walaupun pendidikan adalah perkara persekutuan demi manfaat pelajar dan guru,” katanya ketika berucap memperkenal dan melancarkan Logo DBOS di sini, semalam.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri juga Pengerusi Lembaga Pengarah DBOS Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani serta yang lain.

Menurut Abang Johari, beliau percaya semua tahu bahawa kerajaan persekutuan dalam Bajet 2018 memperuntukkan RM1 bilion untuk membiayai kerja membaik pulih dan membina semula sekolah.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri tetapi Sarawak mahu memastikan lebih banyak dana datang dari Putrajaya atau menerusi DBOS yang semestinya perlu dibayar balik oleh kerajaan persekutuan.

“Dalam usaha kita ke arah ekonomi digital, kita memerlukan banyak sumber kewangan dan DBOS cara bagi kita menyedia kemudahan seperti pinjaman berjangka, pinjaman penyambung, kemudahan kredit dan banyak lagi.

“Apabila beroperasi pada Januari 2018, bank itu akan mempunyai modal RM500 juta,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri juga Pengerusi Lembaga Pengarah DBOS Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, DBOS dipercayai dapat memain peranan mengukuhkan perkembangan ekonomi melalui pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya Sim Kheng Boon.

“Beliau (Sim) mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan dan saya percaya beliau individu terbaik dalam menerajui DBOS.

“Saya sebagai pengerusi pertama bagi bank pertama negeri ini amat berterima kasih kepada kepercayaan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dalam usaha kita melonjak ekonomi kita kepada ekonomi digital,” katanya.

Selain Morshidi, antara Ahli Lembaga Pengarah DBOS ialah Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri, Datu Laura Lee dan Dato Sharkawi Alis, 70, iaitu seorang peguam yang menjadi pengarah dalam pelbagai entiti perniagaan dan sektor hartanah, pelaburan dan insurans.

Dua lagi, Christopher Adrian, 55, merupakan jurutera perunding terlibat dalam pelbagai projek pembangunan infrastruktur di Sarawak dan Ho Swee Huat, 63, yang berpengalaman luas dalam industri sekuriti dan perbankan.

  • oleh
  • Advertisement