Anda di sini

Kerajaan boleh campur tangan, sokong usaha tingkat standard bahasa Inggeris

Advertisement

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri boleh campur tangan dan menyokong usaha-usaha meningkatkan standard bahasa Inggeris lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar di Sarawak.

Beliau berkata standard bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan rakyat terutama golongan pekerja di negeri ini menunjukkan penurunan walaupun banyak inisiatif dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saya difahamkan antara kekangan dihadapi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ialah peruntukan bajet sering tidak mencukupi kerana masalah geografi yang luas ditambah dengan kedudukan sekolah di kawasan terpencil di Sarawak.

(Oleh itu) kerajaan negeri boleh campur tangan dan menyokong usaha-usaha JPN Sarawak dalam bidang-bidang kritikal,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2017 di sebuah hotel di sini semalam.

Abang Johari berkata bidang-bidang kritikal yang dimaksudkan ialah melatih guru agar tidak hanya lebih mahir dalam subjek Bahasa Inggeris tetapi lebih kreatif serta inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, kerajaan negeri akan membantu menyediakan sumber-sumber pengajaran dan pembelajaran serta menyokong aktiviti-aktiviti kurikulum tambahan untuk menggalakkan pelajar menggunakan bahasa Inggeris seperti debat, drama, peraduan kemahiran membaca dan menulis esei.

Simposium ini merupakan contoh kerajaan negeri boleh membantu JPN. Seperti dinyatakan oleh Dato Sri Michael Manyin (Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi), hasil simposium ini akan membantu kita merencana serta merancang program-program dan inisiatif ke arah itu.

Saya juga berharap perbincangan sepanjang simposium ini akan membangkitkan minat, inspirasi dan memperkasakan peserta menjadi lebih berminat serta bersemangat melaksanakan tugas membawa penambahbaikan signifikan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, SELES 2017 merupakan pengajuran yang julung kali diadakan menerusi kerjasama antara  MESTR dengan KPM dan siri kedua akan diadakan tahun depan.

Sementara itu Manyin dalam ucapan aluannya mahu pelajar negeri ini mula bercakap bahasa Inggeris tanpa bimbang dengan penggunaan tatabahasa dan kelebihan bahasa.

Jangan bimbang mengenai tatabahasa atau lebihan bahasa (Inggeris), kita mesti bercakap dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu, gasak saja,” katanya dalam nada berseloroh.

Menurutnya pelajar di negeri ini perlu ada kesanggupan serta keberanian bercakap dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum berusaha meningkatan standard bahasa Inggeris masing-masing.

Tambahnya, bahasa Inggeris kini merupakan bahasa global dalam perniagaan dan perdagangan selain bahasa sains dan diplomasi di seluruh dunia.

Bahasa Inggeris katanya, mempunyai status rasmi dan khas dalam lebih 75 negara dan ia menjadi bahasa pertama bagi lebih 400 juta orang.

Secara global, kira-kira dua bilion populasi dunia bercakap bahasa ini dan jumlah ini meningkat dari sehari ke sehari. Selain itu, tiga suku daripada e-mel, teleteks dan kabel dunia dalam bahasa Inggeris.

Lebih 90 peratus laman web dihasil dan ditulis dalam bahasa Inggeris dan lebih 80 peratus data disimpan di dalam komputer di seluruh dunia juga dalam bahasa Inggeris.

Malah lebih separuh daripada penerbitan teknikal dan saintifik dunia dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Advertisement