Anda di sini

1,080 pelajar mendapat manfaat daripada Klinik Kecemerlangan SPM

Advertisement

SIBU: Seramai 1,080 pelajar tingkatan lima telah mendapat manfaat daripada penganjuran Klinik Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (KLIK_SPM) sejak ia mula dijalankan pada 2014.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, untuk tahun ini sahaja (2017) seramai 350 pelajar daripada 15 sekolah di Sibu telah menyertai program tersebut.

Daripada jumlah itu, 250 adalah pelajar aliran sastera manakala selebihnya adalah pelajar aliran sains.

Malah, kita juga amat gembira kerana jumlah penyertaan pelajar daripada aliran sains amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo selepas mengadakan tinjauan minggu akhir program KLIK_SPM di Universiti Teknologi Kolej Sarawak (UCTS) di sini, semalam.

Menurut beliau, para pelajar telah diberi tuisyen percuma selama 10 minggu di UCTS, di mana mata pelajaran yang diajar adalah seperti Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Fizik, Matematik Tambahan dn Kimia dan diajar 40 guru pakar di Sibu.

Program KLIK_SPM merupakan anjuran Persatuan Graduan Bumiputera Sibu (PGBS) dan telah mendapat kerjasama daripada Pusat Khidat DUN Nangka sebagai penyumbang dana dan UCTS sebagai pihak yang menyediakan tempat program,” katanya.

Untuk rekod, seramai 314 pelajar tingkatan lima telah mengikuti program tersebut pada 2016 berbanding hanya 116 pelajar pada 2014 dan 224 pelajar pada 2015.

Selain itu, ditanya mengenai keberkesanan program tersebut, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam itu menyatakan bahawa pencapaian adalah memberangsangkan, tetapi belum mempunyai data yang lengkap.

Data sudah dikumpulkan, hanya tinggal maklum balas daripada pelajar sahaja lagi untuk kita mengetahui lebih tepat lagi.

Saya rasa ada sesetengah daripada mereka sudah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, tetapi apa yang penting bagi saya adalah ingin megetahui bidang pengajian yang mereka cuburi,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu juga berharap semua pelajar yang mengikuti program tersebut mendapat sekurang-kurangnya lima kredit untuk melayakkan mereka melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam negara.

Memang itu adalah hasrat kita, kerana tahun pertama kita adakan program ini adalah supaya seramai mungkin pelajar tidak berhenti belajar setakat tingkatan lima sahaja.

Kita mahu mereka melanjutkan pengajian sekurang-kurangnya di mana-mana politeknik, pengajian asasi atau kolej,” ujarnya.

Advertisement