Anda di sini

SASA komited kembangkan sukan gusti lengan

Advertisement

BERBICARA tentang sukan gusti lengan seolah-olah mengimbas kembali ingatan ke zaman kanak-kanak terutama lelaki.

Masing-masing mahu menunjukkan kekuatan lengan. Malah ada yang menjadikan meja di dalam bilik darjah sebagai platform untuk bertanding beradu kekuatan lengan.

Kadang-kadang masa rehat diluangkan dengan 'pertandingan' gusti lengan antara rakan sekelas atau dari kelas lain. Sukan yang mudah dari aspek pemakaian - bagaimanapun memerlukan latihan dan teknik yang betul.

Gusti lengan meskipun tidak tersenarai dalam temasya sukan besar antarabangsa seperti Olimpik dan Komanwel, tetapi ia bukan satu permainan asing di kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Namun demikian, Persekutuan Gusti Lengan Sedunia (WAF) sedang berusaha untuk membawa sukan ini ke peringkat temasya sukan ASEAN, Olimpik dan sebagainya.

Banyak pertandingan bertaraf antarabangsa pernah dianjurkan, lantas menunjukkan ia satu sukan popular dan kian meningkat popularitinya.

Mengambil peluang untuk meningkatkan popularitinya malah menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, agama dan lapisan umur, Persatuan Sukan Gusti Lengan Sarawak (SASA) akan menganjurkan tiga pertandingan pada tahun hadapan.

SASA, ditubuhkan pada 2016, dengan usaha Presidennya Matthew Dominic Barin yang juga Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Cawangan Sarawak.

Timbalan Presiden SASA Stephen Kee berkata, Matthew banyak memberi dorongan kepada ahli-ahli sukan gusti lengan dan boleh digelar sebagai 'Bapa Gusti Lengan Sarawak.'

Tiga pertandingan gusti lengan bakal SASA anjurkan amat penting dalam membantu meningkatkan populariti sukan itu.

Malah, menurutnya, penganjuran pertandingan peringkat antarabangsa - Pertandingan Gusti Lengan Antarabangsa Premier 101 2018 akan diadakan di Kuching pada 19 dan 20 Januari 2018.

Acara yang menampilkan gusti lengan dari Kanada, Devon Larrat, menawarkan hadiah lumayan RM5,000 untuk juara kategori-kategori utama. Hadiah memang lumayan, tetapi lebih bermakna apabila penganjur berjaya menarik perhatian Larrat untuk datang ke Sarawak!

Sudah pasti peminat sukan tersebut tidak sabar hendak menyaksikan jaguh dunia itu beraksi di Kuching! Ini merupakan kali pertama jaguh itu bertandang ke Asia Tenggara.

Lapan kategori akan dipertandingkan pada Januari depan. Kategori Lelaki Kanan 85kg ke atas, Lelaki Kanan 75-85kg, Lelaki Kanan 75kg ke bawah, Lelaki Kidal 80kg ke atas, Lelaki Kidal 80kg ke bawah, Lelaki Kanan Amatur 75kg ke atas, Lelaki Kanan Amatur 75kg ke bawah dan Wanita Kanan Terbuka.

Jumlah keseluruhan wang tunai dipertandingkan pada acara berprestij itu ialah RM31,300.

Dari perspektif pelancongan sukan, menurut Stephen yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa penganjur pertandingan itu, ia secara tidak langsung mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menarik di kalangan peserta dari luar negara terutamanya.

Jelasnya, kira-kira 300 peserta dari luar Sarawak akan datang ke acara tersebut.

"Juara dunia, Larrat mengesahkan kehadirannya ke Sarawak untuk memeriahkan acara yang amat kami nantikan kerana ia kesinambungan pertandingan-pertandingan pernah kita anjurkan pada tahun ini dan 2015," ujarnya.

Pertandingan-pertandingan sebelum ini, jelasnya, berjaya menarik ribuan hadirin menyaksikan - bukti sukan tersebut mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan lagi populariti sukan ini di kalangan masyarakat setempat, SASA juga menyediakan gimnasium secara percuma di Premier 101.

"Kita mahu anak muda terlibat dengan aktiviti berfaedah dan gusti lengan merupakan satu daripadanya. Di gimnasium ini mereka boleh berlatih agar mahir dalam teknik gusti lengan serta mengekalkan tahap kesihatan," jelasnya.

Jelas Stephen, dalam merealisasikan penganjuran pertandingan antarabangsa Januari depan, beliau mendapat sokongan padu daripada Persatuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms).

"Zil daripada MyArms merupakan satu-satunya memiliki sijil pengadil master di Asia dan merupakan Timbalan Presiden MyArms. Beliau akan membantu Premier 101 sebagai perunding teknikal pertandingan," katanya.

Sejajar dengan hasrat untuk menjadikan gusti lengan sebagai acara pelancongan sukan di Sarawak, SASA ujarnya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri menjadikan Larrat sebagai duta pelancongan.

Larrat mempunyai pengikut ramai di media sosial - Facebook dan Youtube yang mungkin dapat membantu mempromosikan Sarawak di mata pelancong dari luar negara.

Selain acara pada Januari depan, dalam rancangan untuk merancakkan lagi aktiviti gusti lengan, SASA juga akan menganjurkan pertandingan Galacity International Arm Wrestling pada Julai depan, dan pertandingan gusti lengan Piala Ketua Menteri pada November 2018.

Justeru, katanya, beliau amat mengharapkan sokongan kerajaan negeri dalam menjayakan usaha penganjuran pertandingan-pertandingan gusti lengan terutama yang akan berlangsung pada Januari hadapan.

Membuktikan betapa kuatnya keazaman beliau dalam mengembangkan sukan ini, Stephen menggalakkan anak-anaknya menyertainya.

Acho Prince, anaknya yang berusia 11 tahun dan murid darjah lima di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua (SJKCH) merupakan ahli termuda dalam SASA.

Beliau yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu bercita-cita untuk mewakili negara bagi acara sukan gusti lengan dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa seperti Olimpik dan sebagainya.

Menurutnya, dorongan dan sokongan daripada semua ahli keluarganya untuk beliau lebih aktif dalam sukan tersebut amat memberangsangkan dan sekurang-kurangnya sebanyak lima pertandingan telah disertainya sejak mula bergiat dalam sukan gusti lengan.

"Keluarga yang banyak memberi semangat kepada saya untuk aktif dalam pertandingan ini dan impian saya adalah agar dapat bertanding mewakili negara dalam acara sukan ini (gusti lengan) di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

"Buat masa ini, saya lebih fokus kepada latihan yang diberikan oleh jurulatih saya kerana saya mahu bertanding dalam Olimpik pada tahun 2024 nanti," jelasnya.

Sementara itu, kakak Acho iaitu Abigail Kee berusia 13 tahun juga berkongsi cita-cita yang sama memberitahu tiada halangan untuknya mencapai cita-cita tersebut dengan adanya kelengkapan untuk sesi latihan yang disediakan oleh SASA.

"Di sini (GYM Premier 101) kelengkapan untuk sesi latihan adalah mencukupi dan terdapat juga jurulatih dan ahli-ahli SASA yang sentiasa memberikan tunjuk ajar mengenai teknik yang perlu dipraktikan ketika bertanding nanti," katanya.

Difahamkan juga, Abigail sebelum ini pernah menyertai dan memenangi beberapa pertandingan gusti lengan.

Berbeza dengan kakak sulung kepada adik-beradik ini iaitu Abisadj Kee berusia 15 tahun, beliau lebih cenderung dalam pengadilan dan baharu mendapat sijil pengiktirafan untuk layak menjadi pengadil pertandingan gusti lengan baru-baru ini.

"Saya lebih berminat kepada pengadilan dan hasil pendedahan yang diberikan oleh SASA, saya berjaya mendapat pengiktirafan baru-baru ini untuk layak mengadili mana-mana pertandingan termasuk di peringkat antarabangsa," katanya.

Selain itu, Abisadj yang baharu selesai menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) memberitahu penglibatannya dalam SASA tidak mengganggu pelajarannya.

Seorang lagi ahli gusti lengan wanita yang berada di bawah naungan SASA ialah Tracey Edwina Hughes berusia 25 tahun memberitahu beliau menceburi sukan gusti lengan sejak tahun lepas dan memenangi beberapa pertandingan.

"Mulanya saya hanya 'suka-suka,' namun selepas mendapat sokongan daripada SASA saya aktif sebagai pengadil sebelum mula menyertai beberapa pertandingan dan hasilnya saya berjaya memenangi beberapa pertandingan dalam ketegori yang disertai," katanya.

Bercakap mengenai penyertaan oleh wanita dalam sukan gusti lengan, Tracey memberitahu ia masih di peringkat permulaan dan memerlukan lebih banyak pendedahan.

"Penyertaan (wanita) masih kurang, tetapi menunjukkan peningkatan dan ini mungkin disebabkan masih ramai yang belum mengetahui mengenai sukan ini walaupun tidak dinafikan kita bermain gusti lengan sejak kecil lagi.

"Diharapkan selepas ini lebih ramai lagi terutama kaum wanita menyertai sukan ini kerana acara gusti lengan sebenarnya tidak memerlukan perbelanjaan yang besar dan syarat-syarat yang ditetapkan juga tidak banyak," jelas Tracey.

Antara ahli kanan dalam SASA, Hariz Joseph, 45, memberitahu dia memperolehi pelbagai kenangan manis sepanjang menyertai sukan gusti lengan seperti beberapa kali dinobatkan sebagai 'Mr Selangor' dan Champion Of Champion (COC) Premier 101 International Charity Armwrestling Championship 2017.

"Saya berminat dengan gusti lengan sejak di bangku sekolah lagi, dan sekitar tahun 2006 saya menyertai satu pertandingan yang dianjurkan di Selangor, sekali gus memenangi pertandingan tersebut menyebabkan saya semakin bersemangat untuk pergi lebih jauh lagi.

"Seperti yang lain, saya juga ingin mewakili negara di peringkat antarabangsa sekiranya berpeluang dan diharapkan agar kerajaan kita dapat merancakkan lagi acara sukan ini kerana saya yakin lebih banyak lagi di luar sana yang berbakat namun tiada pendedahan," katanya.

Dominic Johnny, 23, berasal dari Sabah yang kini merupakan pelajar tahun akhir Saujana Muda Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah antara ahli gusti lengan yang tidak asing lagi di negara ini.

Bermula sejak di bangku sekolah, Dominic telah banyak menyertai pertandingan dan pernah terpilih untuk mewakili negara untuk 'World Arms Wresling Championship' pada tahun 2015.

"Bagaimanapun saya gagal meneruskan perjuangan tersebut disebabkan mengalami kecederaan di lengan kanan saya iaitu beberapa hari sahaja sebelum kejohanan berlangsung dan itu merupakan detik pahit bagi saya.

"Justeru, selepas beransur pulih sejak tahun lepas (2016), saya mula lagi aktif dalam acara gusti lengan ini dan syukur saya ada memenangi beberapa pertandingan yang disertai sehingga baru-baru ini dalam pertandingan di Tasik Biru untuk kategori 70 kilogram ke bawah," jelasnya.

 Stephen (berdiri, tengah) bergambar bersama (berdiri dari kanan) Abigail, Tracey,Abisadj dan Hariz serta (duduk dari kiri) Jurulatih SASA Goh Thian Weai, Acho dan Dominic.
UNTUK ALBUM: Stephen (berdiri, tengah) bergambar bersama (berdiri dari kanan) Abigail, Tracey,Abisadj dan Hariz serta (duduk dari kiri) Jurulatih SASA Goh Thian Weai, Acho dan Dominic.
 Dominic (kiri) berusaha untuk mengalahkan jurulatihnya Goh Thian Weai semasa sesi latihan dengan turut diadili oleh Tracey (tengah).
BERADU TENAGA: Dominic (kiri) berusaha untuk mengalahkan jurulatihnya Goh Thian Weai semasa sesi latihan dengan turut diadili oleh Tracey (tengah).
Abigail (kanan) dan Tracey sedang berlatih dengan diadili oleh Abisadj
LATIHAN:Abigail (kanan) dan Tracey sedang berlatih dengan diadili oleh Abisadj
Stephen mencuba kekuatan anak bongsunya, Acho (kanan) yang merupakan ahli termuda SASA dengan diadili oleh Tracey.
ASAH BAKAT:Stephen mencuba kekuatan anak bongsunya, Acho (kanan) yang merupakan ahli termuda SASA dengan diadili oleh Tracey.
Goh menunjukkan antara teknik yang perlu dilakukan kepada Stephen untuk memenangi sesuatu pertandingan.
TEKNIK BETUL:Goh menunjukkan antara teknik yang perlu dilakukan kepada Stephen untuk memenangi sesuatu pertandingan.
 Stephen dan Hariz sedang beradu tenaga semasa sesi latihan tersebut dijalankan.
BERADU TENAGA: Stephen dan Hariz sedang beradu tenaga semasa sesi latihan tersebut dijalankan.
 Hariz (kanan) mendapat tunjuk ajar daripada Goh.
BIMBINGAN: Hariz (kanan) mendapat tunjuk ajar daripada Goh.
 
 
  • oleh
  • Advertisement