Anda di sini

Bila alam bersuara

Advertisement

Beberapa tempat di Kuching, Miri dan Sibu terjejas akibat ribut.

 Kejadian pokok tumbang di Jalan Santubong, Kuching. — Gambar media sosial
HEMPAP: Kejadian pokok tumbang di Jalan Santubong, Kuching. — Gambar media sosial
 Bumbung terbang di Jalan Song Thian Cheok, Kuching. — Gambar media sosial
ROSAK: Bumbung terbang di Jalan Song Thian Cheok, Kuching. — Gambar media sosial

KUCHING: Ribut dan hujan lebat menjejaskan lalu lintas dan menyebabkan kerosakan harta benda di beberapa tempat di tiga bandar utama Sarawak, semalam.

Di sini, beberapa kejadian pokok tumbang berlaku di sekitar bandar raya ekoran ribut yang melanda dari jam 2 petang disusuli dengan hujan lebat.

Difahamkan, antara tempat yang dilaporkan berlaku insiden pokok tumbang ialah di Jalan Tun Salahuddin, Bulatan Abang Kipali, Jalan Merdeka, Taman Budaya, jalan menuju ke Jambatan Santubong, Kampung Siol Kandis, Kampung Sourabaya Ulu dan Jalan Bako.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya satu kes melibatkan kecederaan apabila sebuah kereta dihempap pokok di Jalan Santubong.

Selain itu, terdapat juga insiden bumbung terbang yang turut menyebabkan kerosakan harta benda lain di sekitar bandar raya.

 Atap Pasar Ikan Miri yang tercabut.
TERCABUT: Atap Pasar Ikan Miri yang tercabut.
 Peniaga di Pasar Pusat Miri masih meneruskan perniagaan.
TERJEJAS: Peniaga di Pasar Pusat Miri masih meneruskan perniagaan.

Di Miri, penduduk menceritakan detik-detik cemas apabila ribut melanda menyebabkan rumah bergegar bagaikan hendak menyembah bumi, awal pagi semalam.

Seorang pembaca Utusan Borneo dari Kampung Tudan yang dikenali sebagai Hazim, 25, berkata: “Pada masa kejadian, saya tidur bersendirian di rumah, manakala ibu dan ayah pulang ke kampung.

Tepat jam 5 pagi (semalam), saya berasakan rumah seperti bergoyang dan bergegar. Saya lantas bangun dari tidur dan memeriksa keadaan dalam rumah. Pada waktu itu, hujan lebat dan angin kencang.”

Menurut Hazim, dia mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Hujan dan angin kencang berlaku ini paling teruk pernah saya alami sepanjang menetap bersama keluarga di Kampung Tudan ini.

Apabila hujan dan angin kencang berhenti kira-kira jam 6 pagi, saya bersyukur kerana rumah masih dalam keadaan selamat, cuma sebatang pokok kecil di hadapan rumah telah tumbang ke atas jalan raya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke pusat bandar Miri semalam turut menemu bual peniaga di Pasar Pusat Miri di mana tempat menjaja mereka terjejas akibat dipukul ribut.

Salah seorang penjaja, Janet, 40-an, berkata semasa kejadian beliau sudah berada di pasar seawal jam 3 pagi untuk bersiap memulakan perniagaan.

Angin mula bertiup kencang seawal jam 5 pagi menyebabkan atap usang di pasar itu mula tertanggal dan terbang.

Peniaga ketakutan mula lari mencari tempat lebih selamat kerana khuatir kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Tinjuan pemberita mendapati peniaga di Pasar Pusat Miri masih meneruskan urusan penjualan sayur-sayuran pada pagi semalam.

Kejadian selama satu jam semalam turut menyebabkan beberapa tempat mengalami kerosakan teruk termasuk Pasar Ikan Miri, Balai Polis Pusat Miri dan beberapa premis perniagaan.

 Antara tanglung gergasi di Dataran Bandar Sibu yang rosak dipukul ribut.
MUSNAH: Antara tanglung gergasi di Dataran Bandar Sibu yang rosak dipukul ribut.

Di Sibu, ribut yang mula melanda sekitar jam 4 petang semalam menyebabkan kerosakan tanglung-tanglung di Dataran Sibu yang dipamer sempena Pesta Tanglung Sibu 2017 dari 3 hingga 28 Oktober ini.

Presiden Dewan Perdagangan dan  Perindustian Cina Sibu (SCCCI) Dr Gregori Hii berkata sejumlah besar  tanglung yang dipamerkan di Dataran Sibu rosak dipukul ribut disusuli hujan lebat.

Beliau berharap pihak yang terlibat bertindak segera untuk memperbaiki tanglung yang rosak kerana  acara itu masih berlangsung.

Kita tidak menjangka keadaan cuaca (ribut) yang berlaku secara mengejut ini. Saya berharap orang awam  yang berkunjung ke Dataran Sibu ketika ini mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak perkara tidak  diingin berlaku,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Tinjauan di kawasan Lanang mendapati beberapa pokok tumbang berhampiran Poliklinik Lanang hingga  ke Jambatan Lanang.

Pemangku Ketua Bomba Zon 4 Sibu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pasukan Bomba dan  Penyelamat Sibu dikerahkan ke dua lokasi pokok tumbang semasa ribut sekitar jam 4.20 petang semalam.

Pihak kami telah bertindak membersihkan jalan raya yang tersekat disebabkan pokok tumbang dan  menghalang lalu lintas dari Jalan Lanang hingga ke Jambatan Lanang,” katanya.

Difahamkan, ribut juga menyebabkan pokok tumbang menghempap bumbung bahagian belakang  sebuah rumah di Jalan Langsat 2.

Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.

Difahamkan Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat kuning bagi Sabah dan Sarawak.

Selain itu, amaran ribut petir dan hujan lebat juga dikeluarkan di Miri, Bintulu, Mukah dan Dalat.

 Sebuah papan tanda besar pusat komersial yang baharu dibina tertanggal.
BAHAYA: Sebuah papan tanda besar pusat komersial yang baharu dibina tertanggal.
  • oleh
  • Advertisement