Anda di sini

Tinggal sehelai sepinggang

Advertisement
 Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran tersebut.
PADAM: Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran tersebut.

KUCHING: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka antara tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Boyan di Jalan Astana di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.59 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya tiba di lokasi kejadian pada jam 2.11 pagi.

“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan tiga rumah. Rumah pertama jenis dua tingkat dan berstruktur separuh kekal didiami sebuah keluarga terdiri daripada lapan orang iaitu enam dewasa dan dua kanak-kanak telah terbakar sepenuhnya.

“Manakala rumah kedua dan ketiga yang turut terbakar dalam kejadian tersebut dilaporkan tidak berpenghuni,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak empat motosikal milik ahli keluarga terbabit tidak sempat diselamatkan dalam kebakaran tersebut.

“Operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 5.21 pagi dan tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan.

Advertisement