Anda di sini

Tiga ekor buaya besar ditangkap

Advertisement
 Salah seekor buaya yang berjaya ditangkap SFC baru-baru ini.
TUMPAS: Salah seekor buaya yang berjaya ditangkap SFC baru-baru ini.

KUCHING: Tiga ekor buaya besar ditangkap menerusi program penakaian buaya yang dijalankan oleh pasukan Sarawak Forestry Corporation (SFC) baru-baru ini.

SFC menerusi satu kenyataan semalam berkata tangkapan pertama dibuat di Sungai Rimbas, Pusa.

“Pasukan SWAT yang terdiri daripada kakitangan dari Kuching dan Sibu dihantar ke lokasi untuk memburu buaya yang baru-baru ini menyerang dan membunuh Bentayan Ilah, 31, dari Kampung Tambak.

“Pemasangan 13 cangkuk umpan di sepanjang lima kilometer Sungai Rimbas telah berjaya menaikkan seekor buaya sepanjang 4.8 meter petang semalam (kelmarin),” katanya.

Bedah siasat juga telah dijalankan di hadapan pegawai polis dan keluarga mangsa, dengan menemui beberapa bahagian badan di dalam perut buaya berkenaan dan kemudian diserahkan kepada polis untuk analisis DNA forensik.

Dalam dua kes berasingan, pasukan SWAT SFC yang dihantar ke Sungai Kawi, Bintangor dan ladang kelapa sawit di Suai, Miri juga berjaya menangkap dua ekor buaya, yang masing-masing sepanjang 3.87 dan 3.9 meter.

Kedua-dua buaya itu ditangkap kerana dilaporkan mengancam nyawa penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai-sungai berkenaan.

Justeru, orang ramai disarankan untuk memberitahu pejabat Jabatan Hutan atau pejabat penjejakan buaya SFC yang berdekatan di kawasan masing-masing jika mendapati kehadiran buaya yang mengancam nyawa mereka, dan tidak mengambil tindakan sendiri untuk menangkap reptilia yang berbahaya itu.

Advertisement