Anda di sini

SBIDP diperkukuh sejajar ekonomi digital: KM

Advertisement
 (Dari kanan) Ahmad, Nancy dan Uggah bersama tetamu kehormat lain melihat antara produk yang dihasilkan daripada biomas dipamer sempena IBCM 2017 di BCCK, semalam.
BERKUALITI: (Dari kanan) Ahmad, Nancy dan Uggah bersama tetamu kehormat lain melihat antara produk yang dihasilkan daripada biomas dipamer sempena IBCM 2017 di BCCK, semalam.

KUCHING: Pelan Pembangunan Industri Biomas Sarawak (SBIDP) akan diperkukuhkan lagi menerusi pendekatan holistik sejajar dengan pengenalan inisiatif-inisiatif ekonomi digital negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata langkah itu penting ke arah pendigitalan yang akan memberi impak kepada semua aspek rangkaian nilai bidang-bidang utama seperti pertanian.

Beliau berkata pertanian moden menggunakan teknologi seperti dron dan semua pembolehubah berkaitan untuk menyelesaikan isu-isu lama dalam industri tani seperti hasil, kekurangan tenaga kerja, kecekapan dan lebih penting meningkatkan kos keseluruhan pengerahan sumber seperti biomas menerusi penggunaan teknologi baharu.

“Usaha menghijaukan perindustrian adalah anjakan paradigma buat Sarawak kerana selama ini Sarawak hanya mengeksport sumber-sumber semula jadi mentah seperti kayu, minyak dan gas dan minyak sawit mentah.

“Kita yakin pembangunan industri biomas yang lebih baik dan realistik boleh menyumbang kepada usaha Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi dengan pembangunan lebih seimbang di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibaca Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Persidangan Biomas Antarabangsa Malaysia 2017 (IBCM 2017) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Abang Johari berkata sehubungan itu Sarawak akan mempelbagaikan sektor ekonominya menerusi bioekonomi dengan memfokus kepada biomas dalam peralihan itu.

Bagi tujuan itu katanya, satu pelan tindakan terperinci akan dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Persekutuan-Negeri yang diketuai Unit Perancang Negeri (SPU) Sarawak.

“Sarawak mempunyai 10 biofuel atau tumbuhan biokimia dalam pelbagai peringkat pembangunan, menggerakkan enam juta tan daripada 19 juta tan biomas kering dalam empat kluster spesifik di Bintulu, Miri, Tanjung Manis dan Kuching dalam 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata penilaian menunjukkan Sarawak mempunyai potensi sangat hebat untuk memanfaatkan sumber biomasnya bagi menjana Pendapatan Negara Kasar RM4.8 bilion.

Selain itu katanya, sumber biomas Sarawak dapat mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu dan peluang pelaburan RM18 bilion dalam seluruh rantaian nilai bioekonomi dengan mengggunakan kira-kira enam juta tan sisa kering biomasnya.

“Ini adalah peluang unik Sarawak untuk menjadi pemimpin dan berpotensi muncul sebagai kelompok biomas bersepadu pertama Asia atau HabBio kerana kita mempunyai sumber-sumber bio yang lain yang boleh disepadukan dengan baik serta menjadi contoh konsep perkongsian ekonomi,” jelasnya.

Mengenai persidangan itu, Abang Johari berkata ia diadakan tepat pada masanya untuk mencetuskan pemikiran inovatif dalam perjalanan ke arah agenda bioekonomi negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan.

“Kami yakin Sarawak dapat membantu meletakkan Malaysia sebagai Hab Pemprosesan Biomas Serantau untuk aplikasi hiliran bernilai tinggi.

“Komitmen yang ada sekarang amat kukuh dan kita berada di landasan betul ke arah sasaran itu tetapi kita memerlukan semua sokongan dan peluang-peluang kolaboratif ada dalam kalangan pihak berkepentingan tempatan serta antarabangsa untuk menjadikan perjalanan ke arah sasaran ini menarik serta bermanfaat untuk semua,” katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Maria Castillo Fernandez, Duta Republik Korea ke Malaysia Dr Yu Hyun-seok dan Duta (Dilantik) Belanda ke Malaysia Karin Mossenlecher dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM) Naser Jaafar.

  • oleh
  • Advertisement