Anda di sini

PRS Tamin mahu Entulu kekal di Selangau

Advertisement
 Ahli PRS Bahagian Tamin mahu Entulu dikekalkan pada PRU14 ini.
KEKALKAN ENTULU: Ahli PRS Bahagian Tamin mahu Entulu dikekalkan pada PRU14 ini.

SIBU: Arena politik di Selangau bakal bergolak apabila ketiga-tiga sayap Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Tamin terdiri daripada Jawatankuasa Induk Wanita dan Pemuda sebulat suara mahu Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Pengerusi PRS Tamin Augustine Amin, Setiausaha PRS Tamin John Entebong, Ketua Wanita PRS Tamin Liah Umal dan Ketua Pemuda PRS Tamin Hendary Suria Linggang ketika mengeluarkan kenyataan media bersama semalam berkata, Parlimen Selangau buat masa ini tidak memerlukan muka baharu menggantikan Entulu yang juga timbalan presiden PRS.

“Kami dengan tegas akan menolak dan tidak bersetuju dengan mana-mana muka baharu dicalon di Parlimen Selangau kelak.

“Persetujuan kami itu telah dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRS Bahagian Tamin baru-baru ini dan ia resolusi penting kami buat pada mesyuarat tersebut,” tegas mereka lagi.

Menurut mereka, semua program dan majlis yang dianjurkan  Entulu di kawasan Selangau mendapat sambutan baik rakyat dan ini menunjukkan beliau masih popular dalam kalangan pengundi di Selangau.

Mereka berkata kenyataan dikeluarkan segelintir pihak baru-baru ini mengenai para pengundi belia yang mengesyorkan agar Entulu digantikan dengan calon baharu adalah andaian dan bersifat peribadi dan bukannya dari sudut yang benar.

“Daripada banyak-banyak program dan majlis yang dihadiri Entulu di Selangau selama ini jelas menunjuk-kan beliau masih mendapat sokongan padu daripada rakyat akar umbi.

“Kenyataan yang dikeluar-kan oleh pihak berkenaan itu hanya pandangan peribadi tanpa menilai siapa Entulu dalam kalangan rakyat setempat,” ujar mereka.

Mengenai Rita Insol yang diuar-uar menggantikan Entulu, mereka sebulat suara membidas serta menolak Rita dan berpendapat beliau tidak layak menggantikan tempat Entulu.

“Sayap Wanita PRS Tamin ingin menjelaskan di sini bahawa dakwaan Rita bahawa beliau adalah ketua Wanita PRS Tamin adalah satu pembohongan besar.

“PRS Tamin tidak pernah menerima pencalonan beliau untuk sebarang jawatan malah PRS Bahagian Tamin tidak pernah menerima permohonan keahlian beliau yang sepatutnya melalui saluran keahlian betul di peringkat bahagian sebelum dilulus oleh ibu pejabat parti,” kata mereka.

Sementara itu, mengenai kenyataan Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Ma-sing  mengatakan pencalonan semula Ahli Parlimen harus mendapat persetujuan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, mereka berkata:

“Formula sebegini adalah baharu dan tidak pernah dipraktik sebelum ini serta tidak pernah dibincang dengan terperinci oleh badan induk parti atau ibu pejabat parti.

“Sekiranya cadangan Ma-sing ini diterima maka ini akan mewujudkan kes rujukan dan pasti akan menyulitkan keadaan pada pilihan raya kelak.”

Menurut pemimpin cawangan parti itu, kriteria diperkenalkan secara spontan begini membayangkan berlakunya isu ketirisan dan berat sebelah yang akhirnya akan memudaratkan keharmonian parti serta Barisan Nasional (BN).

Jelas mereka, PRS Tamin menolak sesiapa sahaja calon menggantikan Entulu kerana perkara ini dilihat seolah-olah ‘alasan’ mengetepikan Entulu tanpa persetujuan majoriti rakyat.

“Kenyataan dikeluar sebelum ini hanya lebih kepada bersifat peribadi mereka yang berkenaan yang mengata-kan pengundi muda mahu muka baharu dicalonkan di Parlimen Selangau,” tegas mereka.

Mereka memberitahu, PRS Bahagian Tamin masih memerlukan khidmat Entulu kerana beliau masih sihat, aktif dan sering mendapat penghormatan serta kepercayaan kepimpinan tertinggi BN terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetuai misi ke peringkat antarabangsa.

“Kami anak Selangau tidak mampu kehilangan kedudukan dan jawatan penting disandang Entulu sekarang sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Ini kerana sesiapa sahaja menggantikan tempatnya, beliau (calon baharu) tidak mungkin akan berada di kedudukan sepertinya. Sejarah banyak membuktikan bahawa Entulu berkeupayaan menjadi pemimpin.

“Justeru, selagi beliau mampu selagi itu kami mahu beliau dikekalkan,” tegas mereka.

Sehubungan itu, mereka mahu Masing menghormati pilihan rakyat daripada terus membuat keputusan sendiri,  lebih kepada bersifat peribadi seterusnya mahu melaga-laga-kan rakyat di Selangau.

  • oleh
  • Advertisement