Anda di sini

Polis berkas penembak Maryland

Advertisement

WASHINGTON: Polis menangkap seorang lelaki yang disyaki membunuh tiga orang dan mencederakan dua lagi kelmarin di sebuah taman perniagaan Maryland sebelum dia menembak seorang lagi individu di negeri jiran, Delaware.

Radee Prince, 37, ditangkap ketika dia lari dengan berjalan kaki di Delaware selepas operasi pemburuan yang menyaksikan sekolah tempatan Maryland dikunci dan set berdekatan bagi drama Netflix, House of Cards, dilaporkan ditutup.

Polis berkata serangan beramai-ramai terbaharu yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) itu adalah “serangan bersasaran”.

“Pada jam 7.05 malam (waktu tempatan), seorang suspek ditahan reman oleh polis selepas aksi kejar-mengejar seketika dengan kaki,” kata Ketua Polis Wilmington, Delaware, Robert Tracy pada satu sidang akhbar yang disiarkan oleh televisyen. 

Prince membuang sepucuk senjata api kaliber .380 sewaktu aksi kejar-mengejar tersebut – kaliber sama yang digunakan dalam serangan yang berlaku, tetapi ujian balistik masih perlu dibuat untuk menentukan dengan muktamad sama ada ia adalah senjata yang sama ataupun tidak, kata Tracy.

Ketua polis itu terdahulu memberitahu pemberita bahawa Prince adalah “seorang individu yang berbahaya. Orang ini menembak enam orang dalam sehari” dalam serangan yang tidak rambang.

Prince dicari “berhubung dengan satu insiden serangan berganda pada awal pagi ini di Edgewood, Maryland dan satu lagi insiden tembakan pada tengah pagi tadi” di Wilmington, satu kenyataan polis menyebut.

Syerif Harford County, Jeffrey Gahler, berkata tiga orang maut dalam insiden pertama di sebuah perniagaan granit sejurus sebelum jam 9 pagi.

Dia mengesahkan sepucuk pistol telah digunakan dan dua lagi mangsa dibawa ke pusat trauma dalam keadaan serius.

Gahler berkata Prince ada kaitan dengan syarikat, Advanced Granite Solutions, di mana serangan tembakan pertama berlaku, dekat Balti-more.

“Ini kelihatan seperti satu serangan bersasaran, ter- batas kepada perniagaan itu,” katanya.

Polis sedang menyiasat hubungan Prince dengan syarikat tersebut, di mana kelima-lima mangsa dalam serangan pertama bekerja, kata Gahler.

Dia berkata orang lain selain lima mangsa tersebut berada di premis berkenaan ketika serangan berlaku.

Tracy berkata mangsa dalam serangan kedua mengenali lelaki bersenjata terbabit.

“Mereka mengenali satu sama lain dan mereka mempunyai sejarah silam,” katanya pada satu sidang akhbar.

Suspek lari dari serangan pertama dengan menaiki kereta yang didaftarkan di Delaware, kata Gahler.

Majalah Variety melaporkan set bagi ‘House of Cards’, yang sebahagian pembikinannya dirakamkan di Maryland, dikunci sementara polis mencari penembak.

Penerbit eksekutif siri itu, Dana Brunetti, berkata dalam Facebook: “Tembakan dekat set ‘House of Cards’.”

Beberapa sekolah di Maryland turut ditutup ketika penembak masih bebas, kata pegawai.

Insiden itu merupakan serangan beramai-ramai terbaharu di sebuah negara di mana pembunuhan sedemikian malangnya sudah menjadi kebiasaan.

Pada 1 Oktober lalu, seorang lelaki bersenjata dalam bilik tingkat ke-32 sebuah hotel kasino menembak pengunjung konsert di Las Vegas, membunuh 58 orang dan men-cederakan lebih 500 lagi.

Ia merupakan serangan paling berdarah dalam sejarah moden AS.

Serangan di Las Vegas mencetuskan usaha untuk me-larang ‘bump stocks’, sebuah alat yang membolehkan tembakan raifal separa automatik dilepaskan pada kadar yang hampir dengan kadar senjata automatik sepenuhnya.

Namun langkah kawalan senapang yang lebih umum masih dibantah dengan keras oleh ahli-ahli Republikan, dengan sokongan lobi Persatuan Raifal Kebangsaan yang berpengaruh. — AFP

Advertisement