Anda di sini

Pembinaan HSR KL-SG akan melalui jajaran baharu

Advertisement
 Mohamad dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada tetamu Rumah Terbuka Deepavali Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan (kiri) di Rantau dekat Seremban, semalam. — Gambar Bernama
SELAMAT HARI DEEPAVALI: Mohamad dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada tetamu Rumah Terbuka Deepavali Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan (kiri) di Rantau dekat Seremban, semalam. — Gambar Bernama

REMBAU: Pembinaan stesen Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) di Labu, Seremban dan jajarannya tidak akan menggunakan laluan dan stesen kereta api lama sedia ada, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebaliknya, beliau berkata ia akan dibangunkan baharu bagi mengelakkan lebih banyak kawasan kediaman terpaksa dirobohkan untuk tujuan itu.

Stesen ini bukan dibuat di stesen kereta api yang lama untuk mengelakkan menggunakan jajaran yang sama, kerana banyak melalui kawasan kediaman. Ini akan menyebabkan banyak rumah-rumah terpaksa dirobohkan kerana laluan kereta api laju ini menggunakan laluan seluas 500 meter iaitu 250 meter kiri dan 250 meter kanan yang mesti dikosongkan.

Jadi kalau kami ikut laluan yang sama, banyaklah kawasan kediaman yang terjejas. Jadi kami telah buat jajaran baharu, masuk dari Melaka terus turun di kawasan dekat Pasir Panjang (Port Dickson) dan melalui jalan ladang kelapa sawit sehingga ke kawasan Jimah (Port Dickson), Sendayan, Gadong Jaya dan terus ke Labu (Seremban) dan di situlah stesen HSR akan dibina,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Deepavali Ketua Penerangan MIC Kebangsaan yang juga Ketua MIC Bahagian Rembau Datuk V.S. Mogan di Rantau, dekat sini.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperlihatkan reka bentuk konsep stesen HSR KL-SG yang mencerminkan identiti dan warisan Malaysia namun pada masa sama moden dan futuristik.

HSR KL-SG menghubungkan bandar raya Kuala Lumpur, Bangi dan Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau yakin stesen HSR di Seremban akan muncul sebagai sebuah daripada tujuh stesen yang tersibuk.

Saya yakin ini merupakan stesen yang sibuk nanti...dia berada tengah-tengah kawasan pembangunan MVV (Malaysia Vision Valley). Dari stesen itu pula, kami harap dapat disambung perkhidmatan rel Express Rail Link (ERL) atau KTM Komuter untuk ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

Selain itu, cadangan menghubungkan Lekas (Lebuhraya Kajang-Seremban) ke PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan) dan ke stesen ini dan seterusnya ke KLIA telah pun dipersetujui secara dasar oleh kerajaan pusat dan stesen ini akan memainkan peranan sebagai Pembangunan Berorientasikan Transit untuk memudahkan orang ramai,” katanya. — Bernama

Menteri Besar berkata orang ramai dijangka dapat menggunakan perkhidmatan ini menjelang tahun 2026, selepas semua urusan termasuk pengambilan tanah dan pembinaan selesai dilaksanakan.

Selepas ini proses pembekuan  tanah akan dibuat kerana kerajaan negeri  telah bersetuju laluan yang telah kami lihat dan ia dapat mengurangkan banyak seperti yang saya katakan tadi melalui kawasan kediaman.

Kami akan bekukan kawasan tanah tersebut dan akan hantar notis kepada tuan punya tanah dan proses pengambilan tanah akan berlaku dalam sedikit masa. Bila sudah selesai proses pengambilan tanah, kami akan buat paparan awam dan bila sudah selesai semua itu, maka pembinaan jalan kereta api ini akan dapat dilakukan dan pembinaan stesen akan dilakukan pada masa yang sama,” katanya.

Mohamad berkata pembinaan HSR KL-SG merupakan komitmen tinggi kerajaan untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam tercanggih dan bertaraf antarabangsa untuk manfaat rakyat di negara ini.

Ini seterusnya akan dapat membuka kawasan pembangunan baharu yang tidak lagi tertumpu di kawasan tradisi di ibu kota,” katanya.

Pada 13 Dis tahun lepas, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala yang memberi laluan kepada pelaksanaan HSR Kuala Lumpur-Singapura dan disaksikan Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh di Putrajaya.

Projek HSR yang merangkumi lapan stesen dan memiliki landasan sepanjang 350 kilometer itu, akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kereta api berkelajuan melebihi 300km sejam. — Bernama

Advertisement