Anda di sini

Kuching FA akan tandatangani MoU dengan Suwon FC

Advertisement

KUCHING: Pasukan Kuching FA akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kelab divisyen kedua Liga Korea Selatan, Suwon FC.

 Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) Fazzrudin Abdul Rahman mendedahkan perkara itu pada sidang media di Stadium Sarawak, semalam.

 Mengulas lanjut, Fazzrudin berkata pihaknya telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan kelab tersebut dari segi pembangunan pasukan.

 Proses menandatangani MoU pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober ini selaras dengan penganjuran Festival Amal Bola Sepak Seoul Stars - Kuching FA.

 Bagaimanapun, katanya, tarikh itu terpaksa dipinda kerana bertindih dengan jadual perlawanan terakhir Suwon FC.

 “Tarikh baharu cuma akan diketahui kelak, mungkin ia akan diadakan lebih awal,” katanya lagi.

 Menurut Fazzrudin, kelab tersebut akan datang ke Kuching pada tahun depan semasa tempoh rehat liga dan menjalani latihan di sini.

 Kerjasama itu akan melibatkan pertukaran idea, serta teknikal dan perancangan dalam pembangunan pasukan.

 Selain Suwon FC, Kuching FA juga akan menjalinkan kerjasama dengan Ji Sung (JS) Foundation yang dimiliki oleh bekas pemain Manchester United, Park Ji Sung.

 “Bapanya, yang merupakan wakil dari JS Academy akan datang ke Kuching untuk menandatangani MoU dengan Kuching FA.

 “JS Foundation fokus dengan pembangunan pemain bola sepak dari peringkat akar umbi, bermula dari usia lapan tahun.

 “Kita mahu hantar pemain muda kita untuk mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak Ji Sung Cup yang diadakan setiap tahun di Suwon.

 Dalam masa sama, Fazzrudin berkata pemain muda Kuching FA dapat menjalani latihan pendek dan didedahkan dengan pembangunan bola sepak di Korea Selatan.

Advertisement