Anda di sini

Kemunculan Jiang pada Kongres dikagumi

Advertisement
 Jiang melambaikan tangan ketika beredar selepas sesi perasmian Kongres Kebangsaan Ke-19 Parti Komunis China di Dewan Agung Rakyat di Beijing, semalam. — Gambar Reuters
DIKAGUMI: Jiang melambaikan tangan ketika beredar selepas sesi perasmian Kongres Kebangsaan Ke-19 Parti Komunis China di Dewan Agung Rakyat di Beijing, semalam. — Gambar Reuters

BEIJING: Dikhabarkan mati beberapa bulan lalu, bekas presiden China Jiang Zemin, 91, merangsang pengguna media sosial semalam apabila dia menduduki tempat terkemuka di Kongres Kebangsaan Parti Komunis China.

Membuktikan laporan kematiannya digembar-gemburkan, bekas pemimpin itu duduk di sebelah Presiden Xi Jinping dan berdiri untuk lagu kebangsaan apabila kongres dua kali sedekad itu dibuka dengan ucapan Xi dalam Dewan Agung Rakyat di Beijing.

Ramai pengguna Internet China memuji ‘Katak’ warga emas itu, nama timangan yang dicetuskan oleh senyuman lebar dan kaca mata Jiang yang menonjol, mengagumi bekas pemimpin itu yang masih kelihatan sihat dalam paparan yang penuh emoji katak.

Saya mahu tanya rahsia umurnya yang panjang,” menurut paparan dalam rangkaian sosial Weibo.

Berapa banyak organ yang dia perlu gantikan untuk berdiri di tengah pentas?” tanya seorang lagi.

Jiang, bekas pemimpin parti dan presiden China selama sedekad dari 1993, dari semasa ke semasa menjadi subjek khabar angin kematiannya.

Khabar angin mutakhir tersebar Mei lalu di tengah-tengah spekulasi dalam talian bahawa beliau mati akibat serangan angin ahmar di Shanghai, hab komersial yang pernah ditadbirnya sebagai datuk bandar dan ketua parti.

Presiden lama biasanya menghadiri kongres dan pengganti Jiang sendiri, Hu Jintao, 74, duduk di sebelah kanan Xi.

Jiang, bekas jurutera kilang, memegang kuasa selepas kejadian di Dataran Tiananmen pada 1989 untuk membimbing China dalam era transformasi ekonomi mengejutkan. 

Legasi Jiang bercampur-baur kerana pemerintahannya menetapkan perancangan pertumbuhan ekonomi yang menimbulkan gejala kemusnahan alam sekitar berleluasa dan jurang kekayaan meluas, yang ditangani barisan pemimpin hari ini.

Namun dengan senyuman lebar, penguasaannya dalam beberapa bahasa, dan kadang-kadang aksi lawak termasuk bergurau dalam bahasa Inggeris, Jiang diingati sebagai tokoh ceria berbanding dua penggantinya yang serius, Hu dan Xi.

Jiang, pencinta muzik yang bermain piano, diketahui pernah tiba-tiba menyanyi ketika melakukan lawatan asing. — AFP

Advertisement