Anda di sini

Bomba alu-alukan kerjasama laksana program inovasi

Advertisement

Laksana menerusi pertandingan inovasi bagi kategori hybrid

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengalu-alukan jabatan, agensi, pihak swasta atau pusat pengajian tinggi yang berminat untuk menjalin kerjasama melaksanakan program inovasi yang berkemampuan meningkatkan kepantasan kerja menyelamat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Amer Yusof berkata jika mempunyai idea baharu dalam aspek keselamatan, menyelamat, bencana atau situasi kecemasan, mereka boleh berjumpa dengan pihaknya agar idea itu boleh dikembangkan untuk kemudahan bersama

Beliau berkata kerjasama itu boleh dilaksanakan menerusi pertandingan inovasi bagi kategori hybrid, yang baharu diwujudkan pada tahun ini, namun pelaksanaannya bermula pada tahun lalu, memandangkan rekaan itu memerlukan masa dan beberapa siri percubaan sebelum berjaya mencapai matlamatnya.

Mereka juga akan diberikan bantuan kewangan dalam melaksanakan program inovasi pilihan dengan keutamaan diberikan kepada projek yang dapat membantu memudahkan tugasan bomba dalam kerja menyelamat dan mengelak bencana.

Sebagai contoh, Bomba Selangor bekerjasama dengan agensi perikanan mencipta ‘the light house’ bagi menangani masalah menurunkan bot ketika air surut, yang sangat berguna dalam kerja menyelamat melibatkan sungai atau laut,” katanya kepada Bernama.

Amer berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif dan Inovasi JBPM yang disampaikan Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim di sini, kelmarin.

Beliau menambah setiap projek inovasi yang berpotensi akan terus diperhalusi oleh bahagian peyelidikan dan pembangunan (R&D) jabatan supaya rekaan itu tidak ‘berkubur dengan tamatnya tempoh pertandingan’.

Kita juga akan mempatenkan rekaan yang sesuai bagi melindungi hak ciptanya supaya tidak sewenang-wenangnya ditiru pihak lain selain sebagai menghargai usaha mereka selama setahun mencipta alatan itu,” katanya.

Amer menambah JBPM tidak berniat menjadikan rekaan baharu itu sebagai hak mutlak jabatan sahaja, sebaliknya bersedia berkongsi dengan jabatan yang sesuai seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut terlibat dalam bantuan kecemasan. — Bernama

Advertisement