Anda di sini

Tiga defendan diarah bayar ganti rugi RM305,000 kepada keluarga pelatih

Advertisement
 Mahkamah Tinggi Sivil di Johor Bahru, semalam memerintahkan kerajaan Malaysia dan dua lagi defendan, Darmaji serta Mohsin membayar ganti rugi sebanyak RM305,000 kepada keluarga seorang pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi yang mati ketika dalam tahanan, empat tahun lalu. — Gambar Bernama
PERINTAH MAHKAMAH: Mahkamah Tinggi Sivil di Johor Bahru, semalam memerintahkan kerajaan Malaysia dan dua lagi defendan, Darmaji serta Mohsin membayar ganti rugi sebanyak RM305,000 kepada keluarga seorang pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi yang mati ketika dalam tahanan, empat tahun lalu. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Sivil di sini memerintahkan kerajaan Malaysia dan dua lagi defendan membayar ganti rugi sebanyak RM305,000 kepada keluarga seorang pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi yang mati ketika dalam tahanan, empat tahun lalu.

Ini susulan keluarga pelatih Mohamad Ezanee Zakaria menang dalam tuntutan samannya terhadap kerajaan dan dua bekas polis bantuan, Dharmai Darwi, 28 dan Mohsin Jamarui, 35, selaku defendan pertama, kelima dan keenam, atas kecuaian menyebabkan mangsa mati dalam tahanan.

Hakim Datuk Teo Say Eng semalam mengarahkan ketiga-tiga defendan itu membayar tuntutan tersebut kepada plaintif kerana mempunyai tanggungan secara bersama atau berasingan menyebabkan kecuaian menyebabkan mangsa berusia 38 tahun, ketika kejadian itu, mati.

Dalam penghakimannya, beliau mengarahkan kesemua defendan itu membayar RM100,000 bagi ganti rugi am, RM200,000 untuk ganti rugi pengajaran, ganti rugi teruk serta ganti rugi penyalahgunaan kuasa awam.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan tuntutan RM5,000 oleh plaintif sebagai ganti rugi khas kos pengebumian di samping mengarahkan defendan pertama membayar kos tindakan RM50,000 kepada plaintif.

Kesemua ganti rugi itu berserta faedah lima peratus setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh ganti rugi tersebut. Ibu mangsa, Mek Eshah Jusoh, 73, selaku plaintif, memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan berjumlah RM1.55 juta menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 24 Feb 2014. Dalam tuntutan saman tersebut, plaintif turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pengarah CCRC Kota Tinggi, selaku defendan kedua, ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan tuntutan saman terhadap defendan kedua, ketiga dan keempat itu ditolak tanpa perintah kos kerana tiada liabiliti dan tiada kecuaian membabitkan mereka.

Plaintif dwakili peguam Ahmad Hafiz Zubir dan Auzan Sazali, defendan pertama hingga keempat diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Thalha Bachok manakala Darmaji dan Mohsin, masing-masing mewakili diri sendiri.

Darmaji dan Mohsin kini sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun mulai tarikh tangkapan pada 2013 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi  kerana membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Pada 14 Nov 2013, Mohamad Ezanee dimasukkan ke CCRC Kota Tinggi sebagai pelatih dan pada hari sama dia dipercayai dipukul atau diserang polis bantuan.

Mohamad Ezanee, yang tidak sedarkan diri, dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, di sini sebelum meninggalkan pada hari berikutnya.

Laporan bedah mengesahkan punca kematiannya disebabkan pembengkakan otak. — Bernama

Advertisement