Anda di sini

RM14.64 juta bagi pemasangan 16,292 unit LJK di Sarawak

Advertisement
 Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melakukan simbolik pelancaran Program Pemasangan LJK di Kampung Pasir Pandak, Kuching. Turut kelihatan Aisah Eden (dari kanan), Datuk Alexander Nanta Linggi, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ketua Kampung Pasir Pandak Mahdi Rosli dan Datuk Wan Hamzah Wan Paie. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
RASMI: Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melakukan simbolik pelancaran Program Pemasangan LJK di Kampung Pasir Pandak, Kuching. Turut kelihatan Aisah Eden (dari kanan), Datuk Alexander Nanta Linggi, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ketua Kampung Pasir Pandak Mahdi Rosli dan Datuk Wan Hamzah Wan Paie. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak diperuntukkan dengan sebanyak RM14.64 juta bagi tujuan pemasangan 16,292 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) bagi tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut 792 unit merupakan LJK daripada jenis LED (Light Emitting Diode).

Menurut Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, daripada Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) hingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), sebanyak 27,259 unit LJK dipasang di negeri ini.

Di bawah Bajet 2017, kerajaan katanya meluluskan peruntukan yang amat besar iaitu RM100 juta bagi Program Pemasangan LJK di seluruh negara melibatkan sebanyak 120,000 unit LJK.

Daripada jumlah itu katanya, 6,333 unit LJK adalah jenis LED dan selebihnya daripada jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV).

Sebelum Bajet 2017, kerajaan memberi peruntukan antara RM5 juta hingga RM10 juta sahaja bagi pemasangan LJK tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat bahawa pemasangan LJK ini amat perlu serta memberi kesan yang besar kepada penduduk.

Sebab itu bermula tahun lepas, kerajaan dalam Bajet 2017 telah meluluskan peruntukan yang amat besar iaitu RM100 juta pemasangan LJK di seluruh negara termasuk di Sarawak dan Sabah.

Setakat  ini saya berpuas hati dengan kerja-kerja pemasangan LJK di negeri ini meskipun dari keseluruhan unit yang kita luluskan untuk Sarawak tahun ini, 40 peratus telah siap.

Manakala selebihnya, 60 peratus lagi saya harap ia dapat dipercepatkan dan disiapkan pada hujung tahun ini bagi membolehkan kita memasang lebih banyak LJK untuk tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program LJK bagi tahun 2017 Negeri Sarawak di Dewan Kampung Pasir Pandak, dekat sini pada malam 15 Oktober lepas.

Tambah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, selain peruntukan besar bagi pemasangan LJK, kerajaan turut menanggung sepenuhnya bayaran bil dan selenggara lampu jalan ini dengan perbelanjaan RM70 juta setahun.

Mengulas mengenai program yang dirasmikan di Kampung Pasir Pandak tersebut, ia merupakan yang pertama dilancarkan untuk peringkat negeri.

Sebanyak 15 unit LJK daripada jenis HPSV dan dua unit LJK jenis LED dipasang di kampung ini yang telah siap sepenuhnya.

Pada sidang media selepas program tersebut, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berharap KKLW akan menerima lebih banyak peruntukan di bawah Bajet 2018 untuk meneruskan program ini.

Seperti bajet-bajet sebelum ini, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut yakin Bajet 2018 yang akan dibentangkan nanti adalah yang terbaik untuk KKLW.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Naib Presiden Eksekutif Khidmat Korporat Sarawak Energy Berhad Aisah Eden.

 Kampung Pasir Pandak kini diterangi dengan cahaya lampu di bawah Program Pemasangan LJK oleh KKLW. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
TERANG: Kampung Pasir Pandak kini diterangi dengan cahaya lampu di bawah Program Pemasangan LJK oleh KKLW. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
 Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) menyerahkan plak yang telah ditandatanganinya kepada Ketua Kampung Pasir Pandak Mahdi Rosli. Turut kelihatan Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom (kanan), Datuk Alexander Nanta Linggi (kiri), Aisah Eden dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
SERAH: Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) menyerahkan plak yang telah ditandatanganinya kepada Ketua Kampung Pasir Pandak Mahdi Rosli. Turut kelihatan Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom (kanan), Datuk Alexander Nanta Linggi (kiri), Aisah Eden dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
  • oleh
  • Advertisement