Anda di sini

Mohd Lokman, Zulaikah ungguli Golf Grand Sarawak Ke-4

Advertisement
 Juara baharu Kejohanan Golf Grand Sarawak ke-2017 (tiga kiri) Mohd Lokman dan (empat kiri) Zulaikah bersama Mohd Anwar, Jamilah dan Hoan pada kejohanan golf di Kuching kelmarin.
UNGGUL: Juara baharu Kejohanan Golf Grand Sarawak ke-2017 (tiga kiri) Mohd Lokman dan (empat kiri) Zulaikah bersama Mohd Anwar, Jamilah dan Hoan pada kejohanan golf di Kuching kelmarin.

KUCHING: Pemain golf, Mohd Lokman Mustaffa dan Zulaikah Nurziana Nasser mengungguli pusingan akhir Kejohanan Golf Grand Sarawak Ke-4 2017 melabuhkan tirai saingannya di Damai Golf and Country Club (DGCC) di Santubong, kelmarin.

 Mohd Lokman diumumkan sebagai keseluruhan kategori lelaki setelah mencatat 225 mata manakala Zulaikah merupakan juara keseluruhan kategori wanita apabila mencatat enam di bawah par 210 mata dalam acara tiga hari bermula pada 13 Oktober lalu.

 Pemenang kategori lelaki terpaksa diputuskan dengan saingan ‘play-off’ selepas Mohd Lokman bersama dua pencabar lain iaitu Lee Kah Ming dan Aziel menamatkan saingan dengan jumlah markah yang sama.

 Pukulan Birdie Mohd Lokman ternyata membuahkan hasil apabila diisytiharkan sebagai juara berdasarkan peraturan ‘On Count Back’ (OCB).

 Manakala Lee dan Aziel masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan yang turut disertai seramai 46 pemain termasuk 10 wanita.

 Ini merupakan kemenangan pertama pemain dari Lawas itu setelah tidak beraksi pada Kejohanan Golf Profesional Malaysia (PGM) - Asian Development Tour (ADT) 2017.

 Ternyata cubaan berani Mohd Lokman tidak mendukacitakan apabila muncul juara kejohanan berprestij itu.

 Selain itu, Zulaikah turut melakar sejarah buat dirinya apabila muncul juara pertama kali pada usia 15 tahun diikuti Mirabel Ting dari Kelab Golf Sibu dan Angel Hii dari Kelab Golf Miri.

 Dalam kategori nett wanita, pemain golf muda - Eva Puyang Deng dari KGS muncul pemenang setelah mencatat jumlah keseluruhan 201 manakala Asha Nabeela Abdul Rahman menduduki tempat kedua dengan skor 209.

 Kategori nett lelaki menyaksikan Jackie Chiang muncul juara dengan skor keseluruhan 134 manakala Tony Jong dari Kudat, Sabah menduduki tempat kedua dengan beza dua pukulan.

 Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu merangkap penaung kejohanan, Datuk Amar Jamilah Anu.

 Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Senator Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Mohd Nor dan Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA), Hoan Kee Hock.

Advertisement