Anda di sini

Maut dilanggar dua kenderaan

Advertisement
 Motosikal mangsa remuk teruk selepas dilanggar dua buah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Miri-Bypass, Miri malam kelmarin.
REMUK: Motosikal mangsa remuk teruk selepas dilanggar dua buah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Miri-Bypass, Miri malam kelmarin.

MIRI: Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Miri-Bypass di sini malam kelmarin (Ahad).

Mangsa, Mohd Hasmizul Abdullah, 47, dari Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.         

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintenden Polis (DSP) Bingkok John dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kes tersebut.

Katanya, sebelum kejadian sekitar jam 8.15 malam kelmarin, mangsa dalam perjalanan dari Pujut menuju ke Eastwood di sini.

Setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain menyebabkan mangsa tercampak dan masuk ke lorong sebelah.

Mangsa kemudian dilanggar sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Miri.

Manakala dua pemandu kenderaan terbabit masing-masing tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sehubungan itu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Advertisement