Anda di sini

Mangsa ditembak terbawa kad pengenalan anaknya

Advertisement

Rakyat Malaysia maut terkena peluru sesat di Takbai

 Seorang rakyat Malaysia, Wan Mohd Zain W. Hussain, 46, maut dipercayai terkena peluru sesat berikutan serangan empat lelaki bersenjata di pusat pemeriksaan Kampung Cek He, Takbai kira-kira 9.30 waktu tempatan kelmarin. — Gambar Bernama
MAUT: Seorang rakyat Malaysia, Wan Mohd Zain W. Hussain, 46, maut dipercayai terkena peluru sesat berikutan serangan empat lelaki bersenjata di pusat pemeriksaan Kampung Cek He, Takbai kira-kira 9.30 waktu tempatan kelmarin. — Gambar Bernama

TAKBAI: Seorang rakyat Malaysia maut dipercayai akibat terkena peluru sesat yang dilepaskan sekumpulan individu bersenjata di pusat pemeriksaan di Kampung Cek He, Takbai malam kelmarin.

Menurut Ketua Polis Takbai, Kol Phacharapon Na Nakorn, kejadian berlaku jam 9.30 malam (waktu tempatan) dengan mangsa dikenali sebagai Wan Mohd Zain W.Hussain, 46, dari Kampung Ketil, Tumpat.

Mangsa yang menaiki motosikal sedang melalui pusat pemeriksaan keselamatan apabila empat lelaki bersenjata yang menaiki sebuah trak pikap melepaskan tembakan ke atas anggota polis yang sedang berkawal di situ. Satu daripada pelurunya mengenai mangsa,” katanya semalam.

Beliau berkata, sebutir bom turut meletup tidak jauh dari lokasi kejadian ketika anggota keselamatan Thai tiba untuk memberi bantuan kepada rakan-rakan mereka yang diserang.

Phacharapon berkata, jenazah Wan Mohd Zain dihantar ke Hospital Takbai untuk proses bedah siasat sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh anggota keluarganya.

Turut berlaku sedikit kekeliruan ketika proses mengenal pasti identiti mangsa apabila pihak polis Takbai menemui sekeping kad pengenalan Malaysia di sisi jenazah yang kemudiannya dipastikan oleh anggota keluarga sebagai milik anak mangsa berusia 15 tahun.

Mangsa dipercayai terambil kad pengenalan milik anaknya secara tidak sengaja sebelum bertolak ke selatan Thailand.

Pihak keselamatan Thailand telah memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya insiden keganasan di Takbai dan selatan negara itu sempena sambutan ulang tahun peristiwa berdarah di Takbai yang berlaku pada 24 Okt 2004 yang mengorbankan kira-kira 86 penduduk Islam tempatan.

Kebanyakan mangsa kejadian mati akibat sesak nafas ketika dibawa menaiki trak tentera ke sebuah kem di Pattani.

Sementara itu seorang pegawai penyiasat polis tempatan berkata mereka turut menemui cermin mata dan mata wang ringgit pada mangsa.

Kita tidak menemui pasport mangsa dan percaya beliau memasuki selatan Thailand secara haram,” katanya dan menambah, mangsa dipercayai memasuki Thailand menggunakan laluan tikus.

Takbai yang terletak di wilayah Narathiwat terletak tidak jauh daripada Sungai Golok yang memisahkan selatan Thailand dengan Kelantan. — Bernama

Advertisement