Anda di sini

Lebih 600 mangsa trak bom di Mogadishu

Advertisement

Hampir 300 maut manakala lebih 300 cedera dalam serangan nekad paling dahsyat di Somalia

 Kemusnahan besar-besaran dapat disaksikan di tempat kejadian dalam letupan bom trak di tengah Mogadishu, kelmarin. — Gambar AFP
SEPERTI DILANGGAR GERODA: Kemusnahan besar-besaran dapat disaksikan di tempat kejadian dalam letupan bom trak di tengah Mogadishu, kelmarin. — Gambar AFP

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 276 maut dan 300 cedera dalam letupan bom trak yang memusnahkan daerah beli-belah sibuk di  Mogadishu, menurut kerajaan semalam, menjadikannya serangan palig berdarah di negara terjejas konflik Somalia.

Penduduk yang terdesak mencari maklumat mengenai ahli keluarga yang hilang selepas letupan raksasa petang Sabtu lalu memusnahkan beberapa bangunan berhampiran dan menyebabkan mangsa rentung sehingga tidak dapat dikenali.

Kerajaan Persekutuan Somalia mengesahkan 276 maut dalam letupan itu dan 300 mangsa yang cedera dimasukkan ke beberapa hospital di Mogadishu,” menurut kementerian penerangan.

Operasi menyelamat kebangsaan masih dijalankan,” menurut kementerian sambil menambah bahawa upacara perkabungan dan peringatan buat mangsa akan dibuat beberapa hari lagi.

Pegawai polis Ibrahim Mohamed berkata, kebanyakan mangsa rentung sehingga tidak dapat dikenali lagi dalam serangan paling berdarah itu.

Kerajaan berkata, pusat kecemasan telah diwujudkan di ibu negara bagi mereka yang mencari maklumat mengenai orang tersayang.

Sudah lebih 24 jam berlalu dan kami langsung gagal menjejaki atau mendapatkan maklumat mengenai adik perempuan rakan saya.

Kami berpendapat adiknya sudah mati dengan mayatnya dalam kalangan mayat-mayat yang rentung teruk itu,” kata Abdulahi

Nuradin yang membantu operasi.

Kami pergi ke beberapa hospital untuk mendapatkan maklumat tetapi gagal.

Keluarga mereka kini 99 peratus yakin beliau sudah mati.

Saya melihat banyak cebisan mayat manusia di hospital sehinggakan tidak sanggup lagi memeriksanya,” tambah beliau.

Sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab meskipun Shabaab, kumpulan militan yang bersekutui dengan Al-Qaeda, kerap melancarkan serangan bom nekad di Mogadishu dalam usahanya menggulingkan kerajaan yang disokong antarabangsa.

Inilah insiden paling menyakitkan setakat pengetahuan saya,” kata timbalan speaker Senat Abshir Ahmed dalam pos Facebook selepas melawat hospital Medina di mana ramai mangsa dikejarkan.

Letupan tersebut turut dikecam ramai termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Kanada, Perancis, Turki dan Kesatuan Afrika (AU).

Jurucakap Presiden Turki Recep Tayyip Erdoga, Ibrahim Kalin berkata, Ankara menghantar pesawat dengan bekalan perubatan dan mangsa parah akan diterbangkan ke Turki untuk menerima rawatan lanjut.

Negara tersebut merupakan penderma dan pelabur utama di Somalia.

Farmajo mengumumkan tempoh perkabungan rasmi tiga hari ketika melawat tempat kejadian dan bertemu beberapa mangsa cedera di hospital berhampiran.

Insiden kali ini adalah serangan dahsyat yang dilancarkan Shabaab terhadap orang awam yang tidak berdosa yang tidak menyasari secara khusus sasaran kerajaan Somali.

Ini menunjukkan bagaimana elemen ganas ini menyasari orang yang tidak berdosa secara semberono dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam ucapan rasmi di televisyen.

Datuk Bandar Mogadishu Tabid Abdi Mohamed turut melawat mangsa yang tercedera dan menyatakan kengerian serangan tidak dapat dijelaskan.

Tiada tragedi yang lebih buruk daripada melihat mayat ahli keluarga dan tidak dapat mengenali mereka.”

Ratusan penduduk melaungkan slogan antikeganasan memakai bandana merah atau putih di kepala sebagai tanda perkabungan, memenuhi jalanan Mogadishu kelmarin untuk mengecam serangan tersebut yang mengejutkan seluruh negara.

Kita telah melihat apa yang boleh dilakukan teroris tanpa belas kasihan dengan menumpahkan darah orang awam yang tidak berdosa.

Kita perlu bersatu menentang mereka,” kata Mohamed kepada penunjuk perasaan selesai perarakan mereka di sebuah dataran di selatan Mogadishu.

Aktivis Abukar Sheik berkata: “Tiada rumah yang mana penghuninya tidak menangis pada hari ini.”

Letupan tersebut berlaku di persimpangan jalan di Hodan, daerah komersial sibuk yang mempunyai banyak kedai, hotel dan perniagaan di barat laut negara.

Kemusnahan yang disebabkan oleh letupan itu ternyata meluas dan memusnahkan keseluruhan kawasan tersebut.

Pegawai keselamatan berkata, tempat kejadian dibanjiri ratusan penduduk dan polis sukar mendapatkan jumlah sebenar mangsa kerana mayat telah dibawa ke hospital berlainan manakala yang lain terus dibawa pulang oleh ahli keluarga mereka untuk dikebumikan.

Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani menulis dalam Twitter bahawa kedutaan mereka rosak teruk dalam letupan tersebut dan seorang pegawai kanannya mengalami kecederaan. — AFP

Advertisement