Anda di sini

Laluan baharu ke puncak indah Kinabalu

Advertisement
__alt__
 Laluan baharu melalui Kota Belud Trail ke puncak Gunung Kinabalu memberi pengalaman lebih mencabar selain pemandangan yang cantik. Laluan Ranau sepanjang 2.97 kilometer dan Laluan Kota Belud sejauh 2.8 kilometer menggantikan satu-satunya laluan lama ke puncak Gunung Kinabalu yang rosak teruk akibat gempa bumi pada 5 Jun, 2015. Laluan Ranau dibuka kepada orang ramai pada Disember 2015 manakala Laluan Kota Belud pula mula digunakan sejak Februari lepas. — Gambar Bernama
DIPERMUDAH: Laluan baharu melalui Kota Belud Trail ke puncak Gunung Kinabalu memberi pengalaman lebih mencabar selain pemandangan yang cantik. Laluan Ranau sepanjang 2.97 kilometer dan Laluan Kota Belud sejauh 2.8 kilometer menggantikan satu-satunya laluan lama ke puncak Gunung Kinabalu yang rosak teruk akibat gempa bumi pada 5 Jun, 2015. Laluan Ranau dibuka kepada orang ramai pada Disember 2015 manakala Laluan Kota Belud pula mula digunakan sejak Februari lepas. — Gambar Bernama

PADA Oktober 2015, ketika pembinaan dua laluan baharu menuju ke puncak Gunung Kinabalu sedang dijalankan, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun memberi jaminan bahawa laluan itu pasti cantik dan mencabar.

Nyata pada awal tahun ini ketika dijemput oleh pihak Taman-taman Sabah untuk mendaki kedua-dua laluan baharu itu, penulis mendapati bahawa pendakian di situ sememangnya cantik dan amat mencabar.

Malah ia terlalu mencabar sehinggakan beliau terpaksa berhenti di separuh pendakian kerana pada usia 67 tahun, beliau tidak mampu untuk mendaki cerun yang curam.

Dalam keadaan hujan dan berangin pada hari itu, penulis terpaksa bertungkus lumus memanjat sambil berpaut erat pada tali untuk sokongan.

Namun seperti yang dijanjikan, pemandangan dari situ memang amat menakjubkan memandangkan satu daripada laluan baharu itu lebih tinggi daripada laluan lama di mana para pendaki hanya dapat melihat hutan yang menghijau serta batu-batuan.

Kedua-dua laluan baharu itu iaitu Laluan Ranau yang sepanjang 2.97 kilometer dan Laluan Kota Belud sejauh 2.8 kilometer dibina bagi menggantikan satu-satunya laluan lama ke puncak Gunung Kinabalu yang rosak teruk akibat gempa bumi berukuran 6.0 magnitud yang melanda Ranau dan bahagian barat gunung itu pada 5 Jun, 2015, mengakibatkan kematian 18 pendaki termasuk malim gunung dan kanak-kanak.

Laluan Ranau dibuka kepada orang ramai pada Disember 2015 manakala Laluan Kota Belud pula mula digunakan sejak Februari tahun ini.

Kedua-dua laluan itu bermula di Laban Rata yang berada pada ketinggian 3,273 meter dan bertemu di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat (3,668m) sebelum bergabung menjadi satu laluan yang menuju ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095-meter, yang merupakan antara puncak tertinggi di Asia Tenggara.

KEROSAKAN TERUK

Penulis adalah antara lapan anggota pasukan termasuk tiga wanita, yang menyertai ekspedisi ke puncak Gunung Kinabalu menggunakan laluan-laluan baharu itu.

Pasukan itu diketuai oleh pendaki tegar Martin Moguring yang juga pembantu kanan Taman Kinabalu di Ranau.

Mereka menggunakan Laluan Kota Belud untuk mendaki gunung dan turun melalui Laluan Ranau.

Ketika turun, mereka melewati laluan lama yang terletak di bahagian barat gunung itu.

Pemandangan yang dipenuhi batu tongkol dan lain di seluruh kawasan berkenaan mengimbau kembali tragedi gempa bumi pada Jun 2015, yang mengejutkan seluruh negara.

Pembinaan Laluan Ranau dan Laluan Kota Belud adalah kisah keazaman dan kecemerlangan.

Sesungguhnya, pembinaan laluan adalah keputusan tepat memandangkan pembinaan laluan baharu itu dibuat ketika orang ramai ingin mengetahui apa yang akan dilakukan oleh pihak Taman-taman Sabah untuk memulih dan menggantikan laluan lama yang rosak teruk akibat gempa itu.

Ia adalah keputusan Taman-taman Sabah yang praktikal, dengan menyerahkan kerja-kerja membina laluan-laluan baharu itu kepada malim gunung, porter dan masyarakat setempat memandangkan mereka lebih arif mengenai keadaan sekitar gunung berkenaan.

Seminggu selepas gempa itu, Pengarah Taman-taman Sabah Dr Jamili Nais, yang disertai Moguring dan seorang pegawai kanan Taman Kinabalu Yassin Miki, membuat dua lawatan untuk menilai kerosakan ke puncak gunung itu.

Pakar-pakar gunung dari Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun turut meninjau tahap kesosakan akibat gempa itu dan memberi nasihat profesional mengenai laluan-laluan baharu yang bakal dibina.

Keadaan laluan lama yang musnah sangat meruntun hati, di mana ia telah berubah sama sekali menjadi kawasan yang dipenuhi batu tongkol dan batu lain,” jelas Moguring.

Ketika kami (Jamili, Moguring dan Yassin) berada di puncak gunung membincangkan bagaimana untuk membina laluan alternatif, saya ditugaskan sendiri oleh pengarah Taman-taman Sabah untuk menyediakan pelan cadangan bagi laluan pendakian,” ujarnya lanjut.

__alt__

KAJIAN INVENTORI

Moguring berkata, ketika memeriksa tahap kerosakan di kawasan permukaan berbatu Panar Laban di bahagian selatan Gunung Kinabalu, gegaran kecil masih berlaku.

Pada akhir perjalanan penilaian kerosakan itu, Jamili menyerahkan parang kepada Moguring sebagai tanda simbolik menunjukkan bahawa beliau telah dilantik untuk mengetuai kerja-kerja membina laluan mendaki baharu bagi menggantikan laluan lama.

Sementara itu, satu pasukan yang terdiri daripada kakitangan botanikal Taman Kinabalu ditugaskan untuk mengadakan kajian inventori mengenai tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sepanjang laluan baharu yang dicadangkan.

Ia adalah untuk memastikan bahawa kami menyimpan rekod bagi pokok-pokok yang terpaksa ditebang bagi membolehkan pembinaan laluan baharu, terutamanya dari segi nama saintifik serta bagi mengenalpasti jika ia adalah spesies endemik atau terancam.

Sekiranya tumbuhan spesies terancam terdapat di sepanjang laluan yang dicadangkan, maka kita perlu mengalihkan laluan itu.

Beberapa jenis orkid yang jarang ditemui yang ada di kawasan itu telah dipindahkan dan ditanam semula di tempat lain,” kata Rossiti Karim yang mengetuai pasukan inventori.

Anggota lain pasukan itu ialah Geofarry Gunsalam, Handry Mujuh, Richard Yulong dan Kinahim Sampang.

Menurut Jamili, dua laluan baharu itu dibina dengan kos RM400,000 dan kerja-kerja dijalankan 30 malim gunung, porter dan penduduk setempat.

Kerja-kerja mereka melibatkan membawa bahan binaan dari Timpohon, yang merupakan titik mula pendakian Gunung Kinabalu,  mengorek lubang di permukaan batu untuk memperbaiki tangga kayu dan menyediakan tali keselamatan untuk pendaki di bahagian-bahagian laluan yang curam.

Beberapa akhbar telah memetik Jamili sebagai berkata bahawa terdapat peningkatan bilangan pendaki di Gunung Kinabalu selepas laluan-laluan baharu dibuka.

Statistik Taman-taman Sabah menunjukkan bahawa 33,414 orang (terdiri daripada 19,426 rakyat Malaysia dan 13,988 pendaki asing) telah mendaki gunung itu pada 2015.

Pada tahun lepas, bilangan pendaki meningkat kepada 37,805, termasuk 17,357 rakyat Malaysia dan 20,508 rakyat asing.

Jamili juga menjelaskan bahawa dua pondok yang rosak di Panar Laban dan Gunting Lagadan, yang digunakan sebagai tempat penginapan untuk pendaki akan dijadikan tapak peringatan, lengkap dengan galeri, sempena memperingati mangsa tragedi gempa bumi tersebut. — Bernama

__alt__
  • oleh
  • Advertisement