Anda di sini

Insentif pendaratan ikan di Pelabuhan Kompleks Perikanan LKIM Tanjung Bako

Advertisement
Irmohizam (dua kiri) ketika menyaksikan pemunggahan hasil tangkapan nelayan yang telah mula mendaratkan hasil laut di kompleks pelabuhan Tanjong Bako, semasa lawatan beliau, pagi tadi
HASIL LAUT: Irmohizam (dua kiri) ketika menyaksikan pemunggahan hasil tangkapan nelayan yang telah mula mendaratkan hasil laut di kompleks pelabuhan Tanjong Bako, semasa lawatan beliau, pagi tadi

KUCHING: Nelayan-nelayan bot C2 dan C ke bawah mendaratkan ikan di kompleks pendaratan ikan terutama di Pelabuhan Kompleks Perikanan LKIM Tanjung Bako di sini bakal menerima insentif daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata nelayan bot C2 dan C yang berbuat demikian akan menerima insentif masing-masing 20 sen dan 10 sen bagi setiap kilogram tangkapan mereka selepas pelabuhan beroperasi sepenuhnya nanti.

"Sebelum ini lembaga tidak pernah memberikan sebarang bentuk insentif dan hari ini sebagai mengesahkan kehadiran saya bersama lembaga pengarah LKIM.

"Saya ingin menyatakan semua bot-bot berkenaan (C2 dan C ke bawah) yang mendaratkan ikan di pelabuhan Tanjung Bako akan menerima insentif iaitu bagi C2 insentif pendaratan 20 sen setiap kilo dan C ke bawah 10 sen setiap sekilo," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Pelabuhan Tanjung Bako di sini, pagi tadi.

Katanya, pihak LKIM dan jemaah lembaga bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha menggalakan pendaratan ikan di pelabuhan agar ia menjadi pelabuhan yang aktif selepas 100 peratus siap beroperasi nanti.

Selain kemudahan menyimpan stok ikan segar, pelabuhan berkenaan juga katanya akan dibina sebuah kilang ais yang kini sedang dibina serta stesen minyak khas bagi memudahkan para nelayan dan pengusaha ikan mendapat bekalan berkaitan kemudahan.

"Secara keseluruhan ia hampir siap hampir 100 peratus dan saya dimaklumkan kelulusan minyak telah diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada Persatuan Nelayan di sini.

"Saya telah meminta juga supaya pembinaan kilang ais dapat disegerakan kerana ini penting supaya tiada masalah berkaitan dengan infrastruktur yang menjadi kekangan setiap nelayan yg ingin menggunakan pelabuhan Tanjung Bako," tegasnya.

Kompleks perikanan LKIM Tanjung Bako yang dijangka siap pada tahun ini itu merupakan yang tercanggih dan terbesar bukan sahaja di Malaysia bahkan Asia Tenggara sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya nanti.

Kompleks yang bernilai RM247.8 juta itu akan menjadi pusat sehenti bagi meningkatkan kecekapan pengendalian pendaratan ikan dan ia dijanga manfaat ekonomi kepada warga nelayan.

Pelabuhan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 1,772 nelayan dan 224 vesel di sekitar Kuching.

  • oleh
  • Advertisement