Anda di sini

Haiwan liar dianiaya

Advertisement

Pelanggan terkejut lihat beberapa spesies haiwan terlindung dijual di sebuah pasar di Miri.

 Tenggiling yang dipotong bahagian badannya dan musang yang dipanggang dijual di sebuah pasar minggu di Miri manakala beberapa ekor kura-kura masih hidup diletakkan dalam besen.
TERLINDUNG: Tenggiling yang dipotong bahagian badannya dan musang yang dipanggang dijual di sebuah pasar minggu di Miri manakala beberapa ekor kura-kura masih hidup diletakkan dalam besen.

MIRI: Beberapa pelanggan sebuah pasar minggu terletak di Pusat Komersil Centre Point di sini, melahirkan rasa terkejut apabila mendapati beberapa haiwan liar atau spesies haiwan terlindung dijual secara terbuka di pasar itu.  

Menurut pelanggan yang menghubungi Utusan Borneo di sini, dia terkejut melihat haiwan liar dijual di pasar tersebut seperti tenggiling dan musang yang sudah dipotong beberapa bahagian badan serta dipanggang.

Selain itu, turut dijual ialah haiwan liar masih hidup seperti anak monyet, labi-labi dan kura-kura sungai.

"Saya dan suami terkejut melihat haiwan itu dijual di pasaran terbuka dan tanpa pihak berkuasa memantau mereka kerana ada beberapa spesies dilindungi dan mungkin tidak akan ada lagi pada masa depan jika tiada usaha melindunginya," katanya yang dikenali sebagai Tan.

Menurutnya, pasar minggu adalah salah satu tarikan pelancong melihat pelbagai sayur-sayuran dan hasil hutan dijual.

"Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk tempatan seperti kami tahu mengenai spesies hidupan liar yang dilindungi, justeru tindakan menjual haiwan liar adalah sesuatu harus dipertimbangkan terlebih dahulu," katanya.

Menurut Tan, beliau turut tersentuh melihat dua anak monyet dijual pada harga RM300 seekor dan disimpan dalam sangkar  menunggu untuk dibeli sedangkan ia sepatutnya masih bersama ibunya di hutan.

"Kedua-duanya kelihatan masih 'bayi' dan saya pasti masih menyusu ibunya serta memerlukan ibu monyet memberi makan, justeru tindakan menangkap dan menjualnya adalah tidak wajar kerana pembeli atau pemiliknya adakah tahu diet seekor anak monyet liar seperti itu," ujarnya.

Beliau berkata, peniaga tempatan sepatutnya diberi kesedaran oleh pihak berkuasa supaya berhenti menjual haiwan-haiwan seperti itu dan membebaskan mereka hidup di habitat semula jadi.

"Pihak berkuasa juga perlu lebih peka dengan menjalankan penguatkuasaan pada hujung minggu di pasar tersebut dan meletakkan papan tanda mengenai haiwan liar terlindung supaya peniaga sedar jenis haiwan liar tidak boleh dijual dan dibunuh untuk dijual," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Oswald Braken Tisen ketika dihubungi menyatakan haiwan-haiwan seperti digambarkan adalah antara spesies dilindungi.

Beliau memberi jaminan bahawa anggota penguat kuasa SFC akan bertindak sewajarnya.

"Saya akan memberi amaran kepada pasukan penguat kuasa kami di Miri agar membantu menangani isu-isu seperti ini," katanya.

Menurut beliau, tindakan memburu, membunuh, memelihara atau menyimpan mana-mana bahagian tubuh hidupan liar terlindung sepenuhnya boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara lima tahun.

Kesalahan yang bersamaan dengan 'Wild Life Protected' di sisi lain membawa hukuman denda RM10,000 atau satu tahun penjara.

Sehubungan itu, Oswald menggesa masyarakat tempatan tidak membunuh atau memelihara haiwan-haiwan terlindung ini kerana tindakan tersebut adalah menyalahi undang-undang negeri Sarawak.

 Antara labi-labi yang dijual hidup.
DIJUAL HIDUP: Antara labi-labi yang dijual hidup.
 Dua anak monyet dijual pada harga RM300 seekor di Miri.
TERKURUNG: Dua anak monyet dijual pada harga RM300 seekor di Miri.
  • oleh
  • Advertisement