Anda di sini

FAS masih punyai maruah, kata Posa

Advertisement

KUCHING: “Persatuan masih mempunyai maruah daripada meminta bantuan daripada pihak luar bagi menyelesaikan masalah gaji pemain-pemain dan pegawai-pegawai pasukan Sarawak”.

 Demikian luahan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais yang menempelak dakwaan sebuah portal laman sosial bahawa Sarawak meminta bantuan ‘pihak luar’ menyelesaikan masalah gaji pemain-pemain dan pegawai-pegawai FAS.

 Menerusi satu kenyataan rasmi di sini semalam, Posa menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan turut menyatakan pendirian bahawa akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam apa sahaja yang berlaku dalam pengurusan persatuan itu.

 Beliau juga berkata, isu pembayaran gaji bukanlah isu besar kerana beliau sendiri secara peribadi banyak membantu dalam pembayaran gaji walaupun mengakui terdapat sedikit kelewatan.

 “Sepanjang memegang tampuk kepimpinan FAS, isu pemain dan pegawai tidak menerima gaji tidak timbul sama sekali.

 “Diharapkan tiada pihak yang membuat spekulasi liar dan mempercayai mana-mana kenyataan yang bukan dikeluarkan oleh persatuan,” katanya.

 Beliau menambah, fokus persatuan ketika ini ialah membangunkan sukan bola sepak Sarawak secara total dan perlawanan terakhir menentang pasukan T-Team pada 28 Oktober ini.

 “Diharapkan semua pihak terus memberi sokongan kepada pasukan Sarawak yang kita sayangi. Demi Ibu Pertiwiku, Sarawak!” katanya.

Advertisement