Anda di sini

Era kebangkitan skuad Sibu FA

Advertisement

Penstrukturan semula SDFA membawa perubahan drastik pada kancah LBR 2017-2018

 Moses (kanan) bersama pasukannya serta barisan jurulatih pada perlawanan menentang Sri Aman di Padang KPSU Sri Aman, Sabtu lalu.
TERBAIK: Moses (kanan) bersama pasukannya serta barisan jurulatih pada perlawanan menentang Sri Aman di Padang KPSU Sri Aman, Sabtu lalu.

SIBU: Penstrukturan semula Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SDFA) membawa perubahan drastik kepada Sibu FA apabila menunjukkan keputusan memberangsangkan pada kempen Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018.

 Pasukan Sibu FA di bawah pengurusan Mejar (B) Moses Ripai yang juga Timbalan Presiden SDFA mencatatkan satu kemenangan dan satu seri menerusi dua perlawanan lalu.

 Pada perlawanan pertama penghujung September lalu, Sibu FA membenam Sarikei (3-2) di Stadium Tun Zaidi dan terbaharu pada 14 Oktober lalu mereka berjaya mengikat Sri Aman 4-4 di Padang KPSU Sri Aman.

 SDFA di bawah kendalian Presidennya, Dr Kamaruddin Ahmen Junaidi menunjukkan permulaan baik pada LBR musim 2017 ini.

 “Sudah tiba masanya kita mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Sibu dalam arena sukan bola sepak di negeri ini.

 “Dengan menghimpunkan pelbagai pemain dari pasukan-pasukan dalam Liga Sibu menunjukkan keberkesanan formula saya guna pakai untuk menaikkan martabat Sibu FA sering menjadi ‘pasukan belasahan’ selama ini,” katanya di sini kelmarin.

 Beliau memberitahu formulanya diterjemahkan dengan baik oleh Ketua Jurulatih Sibu FA, Lucas Gabriel sambil dibantu oleh penolongnya, Mohd Misyam dan Tony Karno.

 “Dalam dua perlawanan, kita berjaya mengutip empat mata dan perlawanan peringkat kumpulan berbaki dua perlawanan lagi.

 “Pada 11 November depan, kami berkunjung ke Kompleks Sukan Meradong, Bintangor menentang Sarikei manakala pada 25 November menjadi tuan rumah kepada Sri Aman di Stadium Tun Zaidi, Sibu.

 “Kita berharap dua baki perlawanan itu memberi tuah kepada Sibu FA sekali gus layak ke pusingan seterusnya,” kata Moses.

 Beliau turut gembira dengan keputusan dua perlawanan lalu namun tidak terlalu mendabik dada malah akan memperbaiki dan menfokuskan kelemahan-kelemahan yang ada bagi pasukannya.

 Moses berkata, untuk memperkuat Sibu FA, SDFA menggunakan peluang sebaik mungkin mencari bakat-bakat muda di sini diketengahkan pada LBR apabila jendela perpindahan pemain dibuka bulan ini.

 Penjaring terbanyak Sibu FA ialah Bietchly Kiroh meledakkan empat gol dalam dua perlawanan.

 Bietchly menjaringkan tiga gol ketika menentang Sri Aman dan satu gol ketika menentang Sarikei.

  • oleh
  • Advertisement