Anda di sini

Cemas disamun empat lelaki bersenjata pisau

Advertisement

Kejadian di Kampung Meranek itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 pagi ketika keluarga mangsa tidur

 Lee ketika menunjukkan peralatan untuk memecah masuk kediaman mangsa yang ditinggalkan suspek ketika melarikan diri.
BAHAN BUKTI: Lee ketika menunjukkan peralatan untuk memecah masuk kediaman mangsa yang ditinggalkan suspek ketika melarikan diri.

KOTA SAMARAHAN: Enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila disamun empat lelaki bersenjata pisau dalam kejadian di Kampung Meranek, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 pagi ketika keluarga malang itu sedang tidur.

Pada mulanya, mangsa yang berusia 38 tahun itu sedang tidur bersama tiga anaknya sebelum dikejutkan salah seorang suspek yang bersenjata pisau.

Selepas itu, mangsa diikat dengan dawai sebelum dibawa ke bilik ibu bapa mentuanya yang berada di sebelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan, semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga anak mangsa dilaporkan masih tidur ketika kejadian tersebut.

Sejurus pintu dibuka, empat suspek berkenaan menyerbu masuk dan menyelongkar bilik tersebut namun cuba dihalang bapa mentua mangsa yang berusia 66 tahun.

Dia (bapa mentua) mengalami cedera ringan dengan kesan calar di bahagian belakang dipercayai terkena senjata tajam.

Insiden itu dipercayai berlaku dalam tempoh 30 minit sebelum kesemua suspek melarikan diri dengan keluar dari tingkap di tepi rumah yang telah diumpil,” jelasnya.

Lee berkata kumpulan penyamun itu dipercayai melarikan diri menggunakan kenderaan yang diletakkan jauh dari rumah mangsa berikutan tiada kedengaran bunyi motosikal atau kereta ketika keluar dari kawasan tersebut.

Menurutnya, tiga suspek memakai topeng manakala seorang lagi tidak menutup muka semasa melakukan samun.

Hasil siasatan awal, kami percayai kejadian samun itu dilakukan warga asing berdasarkan percakapan salah seorang suspek yang berkomunikasi dengan mangsa,” katanya.

Gerakan mengesan kumpulan suspek giat dijalankan dan Lee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar memaklumkan kepada pihaknya bagi membantu siasatan.

Mangsa dianggarkan kerugian lebih RM20,000 yang melibatkan wang tunai serta barang-barang berharga.

Kes masih disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.

  • oleh
  • Advertisement