Anda di sini

Budayakan sukan kalangan generasi muda

Advertisement

Muaythai mampu memupuk semangat setia kawan serta daya saing tinggi, kata Majang

 Majang (tengah) menerima cenderamata daripada Jumaat (dua kanan) dan Rodziah (dua kiri) sambil disaksikan Angelyn (kiri) dan Othman di Bintulu kelmarin.
PENGHARGAAN: Majang (tengah) menerima cenderamata daripada Jumaat (dua kanan) dan Rodziah (dua kiri) sambil disaksikan Angelyn (kiri) dan Othman di Bintulu kelmarin.

BINTULU: Sukan muaythai mampu memupuk semangat setia kawan, daya saing dan budaya bersukan kalangan generasi muda seterusnya berperanan meningkat perpaduan kaum negeri ini.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata selain budaya hidup sihat, muaythai mendidik disiplin peninju melalui sesi latihan dan arahan tertentu sekali gus mengelak mereka terbabit gejala tidak sihat.

 Katanya, meskipun agak baharu di Sarawak sukan muaythai telah menarik golongan belia lelaki dan wanita dengan peserta dari luar menyertainya.

 “Tujuan bersukan bukan semata-mata untuk bertanding merebut pingat ataupun menentu siapa juara, tetapi ruang mencungkil bakatbakat baharu dalam sukan muaythai.

 “Ia juga mengerat semangat perpaduan, kerjasama dan keharmonian kalangan masyarakat,” katanya pada majlis penutupan Kejohanan Muaythai Pro Piala Borneo 2017 di Gelanggang Muaythai, Naim Bintulu Paragon di sini semalam.

 Turut hadir Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi, Angelyn Kho mewakili Naim Land Sdn Bhd dan Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Bumiputera Sarawak (PKBS)Bintulu, Othman Achim.

 Majang berkata, Kejohanan Muaythai Piala Borneo diadakan pada 2014 dengan perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani oleh PMNS, Persatuan Muaythai Negeri Sabah, Persatuan Tomoi Labuan dan Persatuan Muaythai Kalimantan Barat dan beberapa edisi kejohanan diadakan di Bintulu, Kota Kinabalu dan Lundu.

 “Harapan saya kejohanan ini menjadi wadah pembangunan modal insan berkualiti dan memiliki minda kelas pertama peneraju negara pada masa hadapan,” jelasnya.

 Majang menyifatkan kejohanan itu menarik minat ramai dan mendapat sambutan menggalakkan warga Bintulu menyaksikan kejohanan itu.

 “Ramai minat muaythai di sini dan saya difahamkan ramai berkunjung ke venue pertandingan menyaksikan pertandingan lebih-lebih lagi apabila mengetahui peserta-peserta adalah peninju muaythai terkenal dari Thailand, Kalimantan Indonesia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

 Kejohanan anjuran BDA, PMNS, Naim Land Sdn Bhd, PKBS serta beberapa pihak lain itu berlangsung sejak 13 Oktober lalu dan berakhir kelmarin disertai 63 peserta pro dan pemilihan Sukan Sarawak (SUKSAR).

 Acara menjadi tumpuan ramai pertarungan Super Fight Semi Pro lelaki 53kg, wanita 60kg dan remaja 43kg, pertarungan super 4 wanita dan super lelaki 63kg, superfight remaja 40kg, pertarungan amatur, jemputan antarabangsa dan acara final Piala Borneo serta SUKSAR.

 Program mencuba sukan muaythai dengan sesi promosi, penyampaian sijil penyertaan, kursus pengadil dan kursus asas muaythai turut diadakan.

  • oleh
  • Advertisement