Anda di sini

Affin Holdings mahu tumpu segmen pinjaman runcit

Advertisement

Boleh kembangkan modal sebagai aset penuh semua entiti

KUALA LUMPUR: Affin Holdings Bhd akan menawarkan lebih banyak pinjaman runcit serta melaraskan semula imejnya sebagai ‘bank korporat,’ sejajar dengan langkah penyusunan semula yang dilaksanakannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd Jamil.

Menurutnya, bank itu yang sebelum ini lebih dikenali kerana menumpukan pinjaman korporat, kini berhasrat untuk mempertingkatkan sektor pinjaman runcit bagi kemajuannya pada masa depan.

Sebelum ini, peratusan nisbah pinjaman kami adalah 55 peratus korporat dan 45 peratus runcit. Bagaimanapun, segmen runcit itu telah meningkat kepada 50 peratus setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) kumpulan itu di sini, semalam.

Pada mesyuarat berkenaan, kumpulan itu mendapat kelulusan pemegang saham untuk melaksanakan langkah korporat itu yang akan menyaksikan peralihan status penyenaraian daripada Affin Holdings kepada Affin Bank Bhd.

Langkah itu dijangka selesai pada separuh pertama tahun depan.

Mengulas selanjutnya, Kamarul Ariffin berkata langkah penyusunan semula itu juga akan membolehkan syarikat mengembangkan modalnya sebagai aset penuh semua entiti yang diletakkan di bawah Affin Bank dan bank itu turut memiliki akses langsung terhadap pasaran modal dan ekuiti.

Modal bank komersial serta kumpulan yang disatukan itu adalah lebih besar dan bank boleh mendapat akses kepada entiti firma pembrokeran, insurans dan kewangan.

Ini akan membolehkan kita menawarkan pinjaman (dalam jumlah) lebih besar kepada pasaran dan muncul sebagai kumpulan kewangan yang lebih universal dan pelbagai. Ini juga akan menjadikan kita bukan sahaja berteraskan pendapatan tetapi juga fi,” katanya.

Kamarul Ariffin berkata langkah korporat itu akan disusuli dengan cadangan agihan oleh Affin Holdings membabitkan keseluruhan pemegangan sahamnya dalam Affin Bank yang mana pemegang saham akan menerima satu saham Affin Bank bagi setiap saham Affin Holdings yang dimiliki mereka pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kelak.

Selain itu, mengulas Skim Pemisahan Sukarela (VSS), beliau berkata seramai 300 kakitangan syarikat terbabit dengan langkah berkenaan.

Seiring usaha kita untuk melaksanakan aktiviti pendigitalan dan program transformasi lain, kakitangan yang berasakan mereka tidak mampu menyertai program transformasi itu sebaliknya boleh memilih VSS,” katanya. — Bernama

Advertisement