Anda di sini

Latih pemimpin pelapis

Advertisement
 Sagah (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari sebagai penghargaan merasmikan Perhimpunan SABERKAS Ke-15 di Kuching, semalam.
TERIMA KASIH: Sagah (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari sebagai penghargaan merasmikan Perhimpunan SABERKAS Ke-15 di Kuching, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berikrar akan melatih dan memperkasakan pemimpin-pemimpin muda sebelum beliau bersara.

Beliau berkata adalah penting pemimpin muda dilatih dan diperkasakan sebelum mereka mengambil alih kepimpinan negeri kerana Sarawak memerlukan pemimpin yang adil kepada semua kaum dan meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu menjadikan Sarawak lebih maju pada masa akan datang.

“Kita perlu memperkasakan pemimpin-pemimpin muda.

Itu yang saya akan lakukan sebelum saya bersara kelak.

“Ini kerana (menjadi) pemimpin bukannya senang, khasnya Sarawak, kita (pemimpin) mesti adil kepada semua pihak, semua agama dan tidak boleh terlalu emosi,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Kebangsaan Belia Sarawak (SABERKAS) Negeri Sarawak Ke-15 di sebuah hotel di sini semalam.

Abang Johari yang juga presiden SABERKAS berkata budaya sedemikian perlu wujud dalam SABERKAS untuk memastikan pertubuhan belia terbesar di Sarawak dan sudah berusia 45 tahun itu kekal relevan sepanjang zaman.

Beliau berkata peralihan kuasa baik di peringkat negeri mahupun SABERKAS perlu dilakukan dengan lancar bagi memastikan kesinambungan kepimpinan terdahulu dan masa depan.

Menurutnya 45 tahun penubuhan SABERKAS menunjukkan pertubuhan itu sudah cukup matang, begitu juga dengan barisan kepimpinannya namun kepimpinan perlu bertukar ganti.

Perkara yang penting ialah kesinambungan kepimpinan dalam SABERKAS, pada masa sama mengekalkan budaya dan cara mengurus belia supaya golongan itu dapat menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

“Pada hemat saya, apabila tiba masanya kita perlu memperkasakan golongan muda, kita perlu melepaskan tanggungjawab dengan lancar dan pemimpin muda ini akan mengambil alih manakala golongan berusia yakni pemimpin sekarang menjadi penasihat.

'Kalau kita ada budaya ini, maka dalam konteks SABERKAS kita akan kekal relevan sepanjang masa tetapi mesti mengambil kira kehendak zaman,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Abang Johari berkata SABERKAS mesti mempunyai pasukan baharu yang dapat memainkan peranan dalam transformasi Sarawak menjadi negeri pintar berasaskan ekonomi digital.

Pendekatan SABERKAS hari ini ujarnya, mesti berubah dalam membangunkan belia khasnya dan masyarakat amnya di luar bandar menerusi transformasi pertanian untuk menjadikan mereka usahawan tani berjaya.

“Saya hendak anjurkan kepada SABERKAS supaya minda kita bertukar sedikit.

Saya akan melakukan transformasi dalam industri pertanian kerana ia akan menukar keadaan luar bandar, yakni pendapatan akan meningkat dan sudah tentu asasnya ialah pembangunan Internet.

“Dalam senario ini, di manakah SABERKAS.

Adakah kita dapat mengubah minda masyarakat? Adakah kita memainkan peranan menambah limu dalam era digital.

“Terserah kepada anda semua memikirkan perkara ini,” ujarnya.

Beliau menambah, SABERKAS mesti dapat menyesuaikan diri dalam perubahan mahu dibawa kerajaan negeri untuk memasarkan kekayaan sumber semula jadi Sarawak di pasaran dunia dengan nilai yang tinggi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga bekas Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Roland Sagah Wee Inn, Naib Presiden SABERKAS Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi dan pemimpin-pemimpin SABERKAS yang lain.

  • oleh
  • Advertisement