Anda di sini

Tak pernah serik

Advertisement
 Suspek menyorok dalam tong air berjaya ditangkap.
DITANGKAP: Suspek menyorok dalam tong air berjaya ditangkap.

BAU: Seorang bekas pelatih sebuah pusat pemulihan akhlak yang baharu dibebaskan Mei lalu ditangkap semula kerana disyaki terlibat jenayah curi kenderaan, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, lelaki berusia 22 tahun itu yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Henry Gurney, Sabah, ditangkap anggota dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersembunyi di dalam tong air di sebuah pondok berdekatan Kampung Suba Buan, di sini.

Menurut Dev, suspek dipercayai bersama seorang lagi rakan subahatnya terlibat kemalangan selepas mencuri sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) di Batu 3 1/2 Jalan Penrissen, sekitar jam 9 pagi Rabu lepas.

“Mereka melarikan 4WD itu dari hadapan sebuah kedai makan di Batu 3 1/2 Jalan Penrissen.

“Kemudian pada jam 11 pagi, JSJ Bau menerima maklumat berkenaan satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan 4WD di Kampung Suba Buan, di mana dua lelaki (suspek) dilihat keluar dari kenderaan dan lari ke dalam hutan berdekatan.

“Pada jam 1.30 petang, anggota dari Unit K9 dengan kecekapan seekor anjing jenis German Shepherd bernama ‘Zou Lin’ berjaya menjejaki suspek yang sedang bersembunyi di dalam tong air iaitu kira-kira 100 meter dari tempat kemalangan,” kata Dev.

 ‘Zou Lin’ bersama pengasuhnya Koperal Saga Giang serta seorang lagi anggota tiba di lokasi untuk menangkap suspek.
CEKAP: ‘Zou Lin’ bersama pengasuhnya Koperal Saga Giang serta seorang lagi anggota tiba di lokasi untuk menangkap suspek.

Menurutnya, usaha menjejaki seorang lagi suspek tidak berjaya disebabkan terputus jejak di sebatang sungai yang jaraknya kira-kira 70 meter dari tempat suspek pertama dijumpai.

“Suspek berusia 22 tahun itu ditahan dan pihak polis turut merampas kereta 4WD tersebut untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal juga mendapati suspek yang baharu keluar dari Sekolah Henry Gurney itu tidak mempunyai pekerjaan tetap,” kata Dev.

  • oleh
  • Advertisement