Anda di sini

Sektor biojisim di landasan untuk capai sasaran pelaburan RM25 bilion: MIDA

KUALA LUMPUR: Sektor biojisim negara berada di landasan untuk mencapai sasaran menarik pelaburan bernilai RM25 bilion menjelang 2020 berdasarkan Strategi Biomass Negara 2020, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata prospek itu mengambil kira asas dan ekosistem sektor berkenaan.

 “Kami yakin sasaran pelaburan itu dapat dicapai berdasarkan momentum semasa, dan pada masa sama sentiasa bekerjasama dengan para pelabur, di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya semasa sidang media mengenai Persidangan Biojisim Antarabangsa 2017 di sini, semalam.

 Persidangan itu dijadual berlangsung pada 19 hingga 20 Okt ini di Kuching, Sarawak dengan tema ‘Biomass Industry Revolution 4.0: Innovation-led Bio- Based Economy’ (Revolusi Industri biojisim 4.0: Ekonomi Berasaskan Bio diterajui Inovasi).

 Ia dijangka menarik lebih 1,000 penggiat industri dan profesional dari seluruh dunia.

 Azman berkata, sebanyak 226 projek biojisim dengan pelaburan bernilai RM2.92 bilion direkodkan pada 2011 hingga 2016, dan daripada jumlah itu RM1.97 bilion adalah sumbangan domestik.

 “Seiring dengan kecanggihan teknologi, pelaburan dalam sektor biojisim juga sewajarnya meningkat,” katanya.

 Sementara itu, CEO Agensi Inovasi Malaysia, Naser Jaafar berkata persidangan tersebut akan membincangkan kemampanan ekonomi biojisim dan langkah untuk memanfaatkan ekonomi digital. — Bernama