Anda di sini

Kejohanan Muaythai Piala Borneo kembali lagi

BINTULU: Kejohanan Muaythai Piala Borneo kembali lagi tahun ini menemui penggemar sukan tempur yang bakal berlangsung di Naim Street Mall atau Naim Bintulu Paragon pada 13 hingga 15 Oktober ini.

 Penganjuran edisi keempat oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu turut dijayakan dengan kerjasama Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) serta beberapa agensi berkaitan.

 Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi dalam kenyataannya semalam berkata, pelbagai kategori dipertandingkan dalam kejohanan tersebut.

 Antaranya, Lelaki 63 Kilogram (kg), Lelaki 68 kg dan Wanita 45 kg bagi merebut Piala Super 4 Borneo.

 Turut dipertandingkan adalah kategori remaja melalui siri perlawanan Superfight Lelaki 40 kg dan Lelaki 44 kg.

 “Apa yang menarik pada edisi kali ini ialah tempat pertandingan adalah tajaan Naim Group di samping penyertaan atlet-atlet muaythai dari Semenanjung Malaysia dan Thailand.

 “Untuk perlawanan ‘Jemputan Borneo’ pula, ia melibatkan para pencabar dari Melaka dan Kelantan menentang para peserta dari Sarawak,” katanya.

 Manakala perlawanan ‘Jemputan Antarabangsa,’ peninju muaythai Sarawak akan berentap menentang pencabar dari dari Thailand.

 Rodziah berkata kejohanan tersebut telah dimulakan sejak 2015 melalui permeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara PMNS, Persatuan Muaythai Sabah, Persatuan Tomoi Labuan dan Persatuan Muaythai Kalimantan Barat.

 Menurutnya penganjuran sebelum ini dibuat di Bintulu, sebelum diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah dan Lundu, Sarawak.

 “Tahun ini merupakan tahun keempat penganjuran kita bersama PMNS, namun ia merupakan tahun pertama bersama Naim dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Sarawak (PKBS),” katanya.

 Acara tiga berkenaan, akan turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk kursus asas pengadilan sukan muaythai dan kursus asas muaythai.

 Antara lain, adalah segmen ‘Mari Mencuba Sukan Muaythai’ sempena Hari Sukan Negara 2017, siri program anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, sesi pemilihan atlet Zon Utara bagi Sukan Sarawak (SukSar) 2017 yang dikendalikan bersama Pejabat Residen Bahagian Bintulu, senaman pagi, sesi zumba, serta pertandingan melukis bagi kanak-kanak.