Anda di sini

Kedutaan Malaysia di Beijing kendali semua urusan Malaysia dengan Korea Utara

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Kedutaan Malaysia di Beijing China akan mengendalikan semua urusan diplomatik antara Korea Utara dengan Malaysia termasuk hal ehwal dan kebajikan rakyat negara ini di Korea Utara.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata bagi tujuan itu, kertas cadangan untuk memindahkan kedutaan Malaysia di Pyongyang Korea Utara ke Beijing China akan dikemukakan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

 

Menurutnya rekomendasi itu dibuat kerana buat sementara waktu Malaysia tidak akan membuka pejabat kedutaannya di Korea Utara atas aspek keselamatan.

“Kita di Wisma Putra telahpun menyediakan kertas rekomendasi untuk dikemukakan kepada (mesyuarat) kabinet akan datang. Kita akan pindahkan kedutaan Malaysia dari Pyongyang (Korea Utara) ke Beijing China.

“Buat sementara waktu Malaysia tidak akan membuka pejabat kedutaan di Korea Utara, maknanya segala urusan diplomatik serta hal ehwal dan kebajikan rakyat Malaysia di Korea Utara akan dikendalikan oleh pejabat kedutaan kita di Beijing, China,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah bertajuk “Isu-isu dan cabaran-cabaran dalam Mengurusa Hubungan Luar Malaysia' di Arena Gemilang DeTar Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Semasa ceramah itu Anifah berkata kementeriannya dalam proses menyediakan kertas-kertas kabinet yang mencadangkan untuk memberi akreditasi kepada Kedutaan Malaysia di Beijing menguruskan semua hal berkaitan Korea Utara.

“Kita mungkin atau mungkin tidak memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara tetapi ia (kedutaan di Malaysia di Pyongyang) akan dipindah ke Kedutaan Malaysia di Beijing,” katanya.

Pada 28 Februari 2017, Kementerian Luar Negeri mengeluarkan kenyataan melarang rakyat Malaysia pergi ke Korea Utara.

Tambahnya, larangan itu akan berkuatkuasa sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Anifah berkata langkah itu diambil ekoran beberapa peristiwa yang berlaku selepas pembunuhan Kim Chol Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur II pada 13 Februari 2017.

“Jika anda ingat, banyak kenyataan dibuat oleh pihak yang tidak ada kaitan dengan kes berkenaan.

“Secara jujurnya saya katakan, sebahagian daripada kenyataan yang dibuat terburu-buru memberi gambaran buruk kepada Malaysia malah menghasut rakyat negara ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement