Anda di sini

Jurulatih sukan mesti perlengkap diri dengan kemahiran, pengetahuan

Advertisement
 Karim (tiga kiri) bersama Snowdan (empat kiri) dan tetamu kehormat lain pada majlis perasmian Simposium Kejurulatihan dan Sukan dan Seminar Sains Sukan Malaysia Timur Ke-3.
TERBAIK: Karim (tiga kiri) bersama Snowdan (empat kiri) dan tetamu kehormat lain pada majlis perasmian Simposium Kejurulatihan dan Sukan dan Seminar Sains Sukan Malaysia Timur Ke-3.

KUCHING: Jurulatih sukan hari ini mesti melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan bagi menghadapi cabaran melatih serta membimbing atlet.

 Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata peranan jurulatih yang berkualiti serta berpengalaman sangat penting untuk memastikan atlet-altet mereka mendapat sokongan terbaik dalam bentuk latihan serta bimbingan.

 Menurutnya, oleh itu semua jurulatih perlu sentiasa mengikuti perkembangan teknik dan pendekatan bimbingan terkini termasuk pentadbiran sukan yang boleh menyumbang kepada pelaksanaan tanggungjawab mereka.

 “Jurulatih (sukan) hari ini mesti melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan supaya anda dapat berdepan pelbagai cabaran dalam melatih serta membimbing atlet kita,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Simposium Kejurulatihan dan Sukan dan Seminar Sains Sukan Malaysia Timur Ke-3 yang diadakan di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

 Program itu yang disertai lebih 250 peserta dari seluruh negara termasuk tuan rumah Sarawak dianjur bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Institut Sukan Negara (ISN), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) Kota Samarahan.

 Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee dalam ucapan aluannya berkata simposium yang berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober ini bertujuan meningkatkan pengetahuan penyelaras sukan, pengurus pasukan, jurulatih, peminat sukan, guru pendidikan jasmani dan pensyarah universiti dan institut latihan guru mengenai perkongsian sumber dan kepakaran.

 “Kita berpuas hati dengan maklum balas menyeluruh peserta dan ini penting untuk membangunkan lagi standard bimbangan dan latihan tempatan,” katanya sambil menambah acara itu akan merancakkan pembangunan sukan di Sarawak.

 Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datu Ik Pahon Joyik, Pengarah Majlis Sukan Sabah (MSS) Terrance Edward Pudin dan Pengerusi Jawatankuasa Institut Sukan Kebangsaan (ISN) Malaysia Timur Dr Tan Kah Hock.

Advertisement