Anda di sini

Isu perkauman yang tebal boleh jejas keharmonian

Advertisement

Kebimbangan Majlis Raja-Raja Melayu perlu perhatian serius

GEORGE TOWN: Majlis Perundingan Muhibbah Pulau Pinang berharap kerajaan pusat memberi perhatian terhadap kebimbangan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang cenderung membawa isu perkauman yang tebal sehingga menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Kenyataan Majlis Raja-Raja merupakan satu kenyataan yang kita menjunjung tinggi dan kita sokong kerana kebelakangan ini masih ada puak-puak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan suasana perkauman yang tebal kerana mereka ini ghairah berpolitik.

Mereka tidak mengambil kira asas kita mencapai kemerdekaan negara oleh pemimpin terdahulu menerusi kerjasama, kesepakatan dan perpaduan yang cukup kukuh. Kita berharap dengan adanya kenyataan rasmi oleh Majlis Raja-Raja ini kerajaan akan mengambil tindakan untuk membasmi perkauman yang tebal dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Kelmarin, Majlis Raja-Raja Melayu dalam kenyataan berkata Raja-raja Melayu memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum di negara ini.

Menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad itu rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini adalah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Sehubungan itu, Mohd Yussof berkata pihaknya mencadangkan kerajaan mewujudkan semula Hari Perpaduan Negara, yang sebelum ini hanya disambut pada tahun 1971 dan 1972, dengan mengisytiharkan 8 Feb sebagai sambutan hari tersebut sebagai usaha menyemai semangat setiakawan, perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

Beliau berkata pemilihan tarikh itu adalah kerana pada tarikh tersebut negara telah menandatangani perjanjian kemerdekaan persekutuan Tanah Melayu di London pada tahun 1956 selain ia merupakan tarikh ulang tahun kelahiran bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pelbagai aktiviti boleh dijalankan pada sambutan Hari Perpaduan Negara ini seperti perarakan, seminar dan program-program yang dapat memupuk semangat patriotisme terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung cadangan sambutan Hari Perpaduan Negara itu. — Bernama

Advertisement