Anda di sini

Isu hak tanah Orang Asal perlu diselesai dengan baik

Advertisement

SUHAKAM cari jalan, penyelesaian kerajaan agak perlahan

 Timbalan Naib Canselor (Penyelidik dan Inovasi) UMS Prof Dr Shahril Yusof (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Razali (tiga kiri), sambil diperhatikan oleh barisan tetamu kehormat lain.
CARI PENYELESAIAN: Timbalan Naib Canselor (Penyelidik dan Inovasi) UMS Prof Dr Shahril Yusof (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Razali (tiga kiri), sambil diperhatikan oleh barisan tetamu kehormat lain.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) akan cuba mencari langkah lain untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan hak tanah Orang Asal yang sering kali menjadi isu dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi SUHAKAM Tan Sri Razali Ismail berkata sekiranya tiada jalan penyelesaian yang dilakukan kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan hak tanah Orang Asal, SUHAKAM perlu memikirkan langkah terbaik bagi memastikan Orang Asal terus mendapat pembelaan.

Katanya, kerajaan seharusnya mengambil langkah pantas untuk menangani isu tanah Orang Asal itu kerana menjelang pilihan raya sudah pasti isu itu amat sensitif kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh SUHAKAM berikutan langkah penyelesaian diambil kerajaan agak perlahan dalam menangani isu hak tanah Orang Asal.

Dalam soal dokumentasi untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Sabah, Razali berkata berlandaskan prinsip SUHAKAM yang menyokong hak asasi manusia, kerajaan harus mempertimbangkan memberi dokumentasi kepada PATI.

Tidak bermakna kita mengambil berat terhadap golongan ini kita mengabaikan rakyat Sabah. Pertimbangan harus diberikan berlandaskan peraturan tertentu,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Majlis Profesor Negara bertajuk ‘Hak Asasi Manusia di Malaysia’ di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Selasa.

Menyentuh soal pelarian Rohingya dan peranan Malaysia, beliau berkata terdapat kira-kira 300,000 pelarian yang kini berada di Malaysia dan sukar untuk negara ini menempatkan lebih ramai pelarian kerana pusat tahanan yang ada di negara ini agak terhad.

Dalam isu menyelesaikan isu pelarian Rohingya itu, beliau tidak melihat ASEAN sebagai negara yang seharusnya menawarkan penyelesaian sebaliknya ia di bawah tanggungjawab negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Mengenai hak kanak-kanak tiada kewarganegaraan di Sabah, Razali berkata isu pendidikan kanak-kanak itu diselesaikan melalui kerjasama dengan agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan pusat pembelajaran alternatif.

Ia kerana, sistem pendidikan di Malaysia hanya memberi pendidikan kepada mereka yang mempunyai dokumen sahaja.

Menyentuh soal hak pekerja asing yang ada di Sabah, Pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Dr Aishah Bidin memberitahu dengan kehadiran 1.8 juta pekerja asing di Sabah, Kerajaan Negeri harus mempunyai peraturan tersendiri dalam menangani isu hak yang boleh diberikan kepada pekerja bukan warganegara Malaysia itu.

Advertisement