Anda di sini

Gunung Shinmoedake di Jepun meletus

 Gunung berapi Shinmoedake meletus pada skala kecil di Kirishima, Kagoshima semalam. — Gambar Reuters
MENDADAK: Gunung berapi Shinmoedake meletus pada skala kecil di Kirishima, Kagoshima semalam. — Gambar Reuters

TOKYO: Gunung Berapi Shinmoedake di selatan Jepun meletus buat pertama kali dalam tempoh enam tahun semalam, dengan memancutkan kepulan abu beberapa ratus meter ke udara dan mencetuskan amaran kepada penduduk tempatan.

Orang diarah untuk menjauhi gunung berapi itu selepas ia menjadi aktif jam 5.34 pagi waktu tempatan, manakala Agensi Meteorologi Jepun berkata letupan udara akibat letusan itu boleh memecahkan tingkap.

Kepulan abu mencapai ketinggian 300 meter ketika gunung berapi itu meletus,” kata pegawai agensi sambil menambah, letusan itu akan berterusan dan lebih aktif.

Deposit abu akan menular sejauh dua kilometer dari kawah, agensi itu memberi amaran.

Pihak berkuasa menaikkan amaran ke tahap tiga, yang bermakna penduduk tempatan harus mengelak daripada mendekati gunung berapi itu.

Mereka mengesan 90 gegaran kecil pada 5 Oktober lalu dekat gunung itu yang dipaparkan dalam filem James Bond 1967 ‘You Only Live Twice’.Pada 27 September 2014, Jepun mengalami letusan paling berdarah dalam tempoh hampir 90 tahun apabila Gunung Ontake, di wilayah tengah Nagano, tiba-tiba menjadi aktif.

Kira-kira 63 maut dalam letusan mengejutkan itu ketika gunung itu penuh dengan pendaki yang mahu melihat pemandangan menakjubkan di wilayah tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, kira-kira 1,000 penduduk Tokyo memenangi ganti rugi semalam berhubung bunyi bising pesawat dari pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) berdekatan, tetapi gagal menghentikan penerbangan di luar waktu biasa.

Mahkamah Daerah Tokyo mengarahkan kerajaan membayar penduduk sejumlah 610 juta yen (RM23.7 juta), namun ia menolak seruan mereka untuk menghalang penerbangan antara jam 7 malam hingga 7 pagi di Pangkalan Udara Yokota yang menempatkan 4,000 kakitangan tentera AS kerana melibatkan pihak ketiga asing.

Penduduk tempatan sudah lama merungut tentang bunyi bising di sekitar pangkalan dalam bandar pinggir Tokyo, khususnya pesawat yang berlepas dan mendarat waktu malam dan awal pagi.

Bunyi bising mengganggu kehidupan harian dan menyebabkan kerosakan psikologi kepada penduduk,” kata Hakim Takeo Setoguchi dalam keputusan semalam, menurut agensi Jiji Press.

Kerajaan tidak melakukan usaha secukupnya untuk mencari penyelesaian kepada isu itu,” ujarnya. — AFP