Anda di sini

FAM perlu bantu ringan beban FAS

Perbelanjaan kewangan amat tinggi kerana Sarawak perlu terbang ke Semenanjung 12 kali setahun

 Karim pada sidang media di pejabatnya semalam.
BANTULAH FAS: Karim pada sidang media di pejabatnya semalam.

KUCHING: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membantu Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bagi meringankan beban kewangannya, jika mahu melihat Sarawak kekal menyertai saingan bola sepak negara.

 Itu peringatan diberikan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sambil menjelaskan pada masa ini, FAS perlu menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi disebabkan oleh jadual perlawanan, di mana pasukan Sarawak perlu terbang untuk bermain ke Semenanjung dan Sabah sebanyak 12 kali setahun.

 Jelas beliau, berbanding pasukan-pasukan dari Semenanjung, mereka hanya perlu menaiki penerbangan untuk perlawanan menentang Sarawak dan Sabah, manakala untuk perlawanan lain cuma menggunakan bas.

 “Saya tidak dapat menyalahkan FAS mengadu tentang kewangan, sebab itu saya sering mendesak mereka agar memberitahu FAM mengenai situasi di mana FAS tidak mampu menampung perbelanjaan perlawanan ke Semenanjung dan Sabah kerana kos untuk menjaga pasukan adalah lebih kurang RM1 juta sebulan bagi membayar gaji pemain dan pegawai, pengangkutan, penginapan serta banyak lagi.

 “Maka, sememangnya FAM yang sepatutnya membantu pasukan Sarawak termasuk juga Sabah atau mereka (FAM) meminta daripada kerajaan persekutuan.

 “Jika masalah kewangan menyebabkan Sarawak dan Sabah tidak dapat menyertai saingan liga bola sepak Malaysia, ini menampakkan integrasi nasional yang tidak baik,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

 Menurut Karim, FAS perlu membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk membawa lebih kurang 20 pemain dan pegawai setiap kali berkunjung ke Semenanjung dan Sabah untuk perlawanan.

 Sehubungan itu, katanya, kewangan yang diperolehi FAS termasuk daripada kerajaan negeri adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perlawanan setahun.

 Jelas beliau, kerajaan negeri setiap tahun ada memberi geran kepada FAS tetapi hanya ala kadar sahaja.

 “Kita (kerajaan negeri) tidak dapat tanggung semua kos FAS kerana kita juga membantu dalam penyediaan kemudahan, lagipun kita perlu membantu serta menjaga banyak sukan lain tetapi daripada semua sukan di Sarawak, FAS mendapat geran terbesar,” katanya tanpa mendedahkan jumlah geran yang diberikan setahun.

 Dalam pada itu, Karim turut berharap sektor korporat memberikan belas kasihan kepada FAS dengan membantu di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

 “Jika hendak Sarawak terus bermain dalam Liga Super atau Liga Malaysia, FAS memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta setahun,” katanya.

 Sementara itu, mengulas mengenai kemelut yang melanda antara pengurusan baharu dan lama FAS, Karim berkata beliau bersedia untuk campur tangan jika isu tersebut tidak diselesaikan dengan baik secepat mungkin.

 “Bagaimanapun, saya masih lagi melihat dan membuat siasatan sendiri di manakah kesilapan dan kelemahan dalam isu ini,” katanya.

 FAS kini berhadapan masalah untuk memohon lesen bagi bersaing dalam Liga Super musim depan, selepas rayuan beberapa kali kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ditolak kerana belum menerima laporan kewangan yang dikehendaki (2016).

 Situasi itu menyebabkan pihak pengurusan baharu FAS yang diterajui Datuk Posa Majais mendakwa masalah itu berpunca daripada pengurusan lama badan induk bola sepak negeri itu, yang dipegang Datuk Sudarsono Osman.

 Menurut Posa, FMLLP memerlukan FAS mengemukakan laporan kewangan bagi 2012 hingga 2016, yang pada tempoh tersebut persatuan diuruskan oleh FASFMG Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh Sudarsono.