Anda di sini

Dua perompak stesen minyak masih diburu

 Keadaan cermin hadapan kaunter yang dipecahkan suspek.
PECAH: Keadaan cermin hadapan kaunter yang dipecahkan suspek.

KUCHING: Dua perompak sebuah stesen minyak di Jalan Keruing di sini masih diburu polis, kata Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai.

Beliau berkata, kedua-dua suspek memecah masuk stesen minyak tersebut dan mengurung pengawal keselamatan yang bertugas di dalam pantri dalam kejadian sekitar jam 3 pagi.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan terbabit berjaya melepaskan diri menyebabkan kedua-dua suspek hanya sempat melarikan laci seunit mesin tunai yang mengandungi wang kira-kira RM180.

Semasa kejadian, pengawal keselamatan terbabit sedang berada di bilik pantri dan sebaik sahaja mendengar bunyi bising di luar premis, dia cuba keluar namun mendapati pintu pantri diikat dari luar.

Namun, beberapa minit kemudian dia berjaya membuka pintu tersebut dan melihat seseorang memakai topeng berada di bahagian kaunter.

Menyedari kehadiran pengawal keselamatan itu, suspek terus melompat keluar dari dalam premis ke arah sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lagi lelaki dan terus beredar,” kata Abang Ahmad dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh pengawal keselamatan sejurus selepas kejadian.

Pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati dua mesin tunai telah dirosakkan dan satu daripadanya telah dilarikan bahagian lacinya.

Sungguhpun begitu, kerugian dianggarkan mencecah RM8,000 termasuk kerosakan kedua-dua mesin tunai serta cermin hadapan kaunter yang dipecahkan suspek,” katanya.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.