Anda di sini

Catalonia tangguhkan kemerdekaan

Pemimpin wilayah separa autonomi itu buka konsesi rundingan dengan Sepanyol

 Puigdemont menandatangani pengisytiharan kemerdekaan di Parlimen Catalonia di Barcelona, kelmarin. — Gambar Reuters
TANGGUH: Puigdemont menandatangani pengisytiharan kemerdekaan di Parlimen Catalonia di Barcelona, kelmarin. — Gambar Reuters

BARCELONA: Kerajaan Sepanyol bersiap sedia untuk mengadakan rundingan krisis semalam setelah pemimpin Catalonia menandatangani deklarasi kemerdekaan tertangguh dan menuntut dialog dengan Madrid.

Perdana Menteri Mariano Rajoy mempengerusikan mesyuarat kabinet tergempar sebagai reaksi kepada pengumuman pemimpin Catalonia Carles Puigdemont, kelmarin bahawa beliau telah menerima mandat rakyat agar Catalonia menjadi sebuah republik yang merdeka ekoran larangan referendum pada awal bulan ini.

Namun Puigdemont dalam deklarasinya kepada parlimen menuntut agar kemerdekaan Catalonia ditangguhkan untuk membolehkan rundingan diadakan dengan Madrid.

Rajoy telah berjanji untuk menggunakan segalanya dalam kuasanya untuk menghalang kemerdekaan dan enggan menolak kemungkinan melaksanakan pemerintahan langsung ke atas wilayah separa autonomi itu, satu langkah luar biasa yang ramai bimbang boleh membawa kepada pergolakan.

Menjadi taruhan adalah masa depan sebuah wilayah yang mempunyai 7.5 juta orang, salah sebuah kuasa ekonomi Sepanyol, yang menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan dalam Kesatuan Eropah dengan kempennya untuk memisahkan diri.

Ribuan berhimpun di luar bangunan parlimen di Barcelona pada petang kelmarin, sambil mengibarkan panji dan bendera Catalan dan menjerit “demokrasi” dengan harapan untuk menyaksikan malam bersejarah di sebuah wilayah yang masih berbelah-bahagi mengenai kemerdekaan.

Namun institusi politik di Sepanyol menyelar Puigdemont ekoran deklarasi itu, dan sokongan di kalangan pemisah di Catalonia ternyata berbelah-bahagi.

Timbalan Perdana Menteri Soraya Saenz de Santamaria memberitahu pemberita sejurus selepas deklarasi itu ditandatangani bahawa Puigdemont adalah seseorang yang tidak tahu di mana beliau, ke mana beliau pergi atau dengan siapa beliau mahu pergi.

Penduduk Barcelona Maria Rosa Bertran berkata dia menentang penangguhan pemisahan.

Saya mendapati ia malah lebih buruk kerana ia bermakna menderita lebih lama lagi. Kegagalan untuk membuat keputusan dan ketidakpastian adalah perkara terburuk yang dapat berlaku kepada kita,” katanya kepada AFP.

Ketua politik di Catalonia, Sepanyol dan Eropah menentang pemisahan, kerana bimbang mengenai pergolakan terbesar di negara itu sejak sekian lama.

Ekoran deklarasinya di parlimen, Puigdemont dan sekutunya menandatangani deklarasi kemerdekaan di luar dewan, tetapi kesahannya di bawah undang-undang tidak jelas. 

Sepanyol dan Catalonia sekarang memasuki peringkat yang tidak menentu, kerana Madrid sudah berulang kali menyatakan kemerdekaan tidak akan dibincangkan.

Catalonia meneruskan referendum kemerdekaan pada 1 Oktober lalu yang menurut kerajaan pusat melanggar perlembagaan Sepanyol.

Kira-kira 90 peratus daripada mereka yang mengundi memilih kemerdekaan tetapi pungutan suara itu tidak dipantau dengan baik dan ramai orang Catalan yang menentang pemisahan memulaukan referendum yang dilabel oleh Madrid sebagai menyalahi undang-undang. — AFP